Labels

Wednesday, January 15, 2014

Rasulullah : Kami Cinta Padamu

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kebenaran
Terukir namamu di dalam al-Quran...

Demikianlah bait-bait lagu yang sedikit sebanyak menceritakan tentang perjalanan kekasih agung kita Rasulullah SAW.Begitu banyak dugaan,cabaran, dan rintangan yang perlu dihadapi demi memastikan umatnya mendapat cahaya Islam yang menerangi manusia yang berada di dalam kegelapan.

Apa yang Rasulullah tak hadapi?

Tentangan dari kaumnya,pemulauan dari orang-orang Makkah,bagida dan para sahabatnya diancam bunuh,ada sahabat yang diseksa sehingga syahid,banyak lagi bentuk penyeksaan yang dikenakan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat semata-mata untuk menyebarkan agama Islam yang dicintai ini.
Sebagai seorang Muslim yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW,mari kita muhasabah.Bagaimana cinta kita kepada Rasulullah SAW?Penulis ingin mengajak pembaca sekalian merenung dua kisah cinta yang begitu mendalam kepada rasulullah SAW untuk kita beroleh iktibar.

1.Cintanya Bilal kepada Rasulullah.

Setelah Rasulullah SAW wafat,Bilal berpindh ke negeri Syam kerana tempaat itu pernah didoakan oleh Rasulullah SAW.Beliau berpindah ke sana kerana Madinah mengingatkannya setiap kenangan bersama dengan Rasulullah SAW.Pada suatu malam beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW lalu baginda bertanya kepada Bilal,”Wahai Bilal,apakah keasingan ini?Tidakkah engkau ingin menziarahi aku?”

Saidina Bilal terus bergegas ke Madinah.Sampai sahaja di Madinah,beliau terus menangis.Kemudian beliau terjumpa Saidina Abu Bakar,khalifah umat Islam ketika itu.Saidina Abu Bakar berkata kepada Bilal,”Wahai Bilal,laungkanlah azan sebagaimana yang engkau pernah lakukan ketika Rasulullah SAW masih hidup dahulu.” Bilal menjawab,”Wahai Amirul Mukminin,dahulu bila aku habis sahaja azan,aku akan lalu di depan pintu rumah Rasulullah dan aku akan berkata,solat ya Rasulullah.Maka sekarang bagaimana hendakku 
lakukan itu?” Jawapan yang sama juga diberikan ketika Saidina Umar memintanya melaungkan azan.

Kemudian datang Saidina Hasan dan Saidina Husain,cucu baginda Rasulullah SAW.Mereka berdua juga meminta agar Bilal melaungkan azan.Maka Bilal pun mengalah.Bilal pun naik ke tempat melaungkan azan.
Sebaik sahaja Bilal melaungkan azan,terkejut penduduk Madinah.Mereka menyangka Rasulullah telah diutuskan semula kerana suara azan itulah yang sering bergema ketika Rasulullah SAW masih hidup.Apabila sampai sahaja pada kalimah “Asy hadu anna Muhamadur Rasulullah”,Bilal menjadi lemah dan tidak mempu menyempurnakan azannya.Beliau menangis teresak-esak kerana teringatkan Rasulullah,sehingga esakannya itu didengari oleh penduduk Madinah,lantas beliau pun turun dari tempat melaungkan azan.

Kata para perawi hadis,Madinah tidak pernah begitu sayu selepas kewafatan Rasulullah SAW melainkan semasa Bilal melaungkan 'asy hadu anna muhammadur Rasulullah."

2.Cinta pohon kurma kepada Rasulullah SAW.

Dikisahkan dalam sebuah hadis yang mutawatir,diceritakan tentang kisah pohon kurma yang begitu tinggi cintanya kepada Rasulullah SAW.

Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW apabila menyampaikan khutbah,baginda akan berpaut pada pohon kurma yang telah mati.Namun apabila jumlah umat Islam semakin ramai,baginda mengambil mimbar sebagai tempat untuk menyampaikan khutbah.

Pada suatu hari,Rasulullah SAW menyampaikan khutbah di atas mimbar,bukan di tepi pohon kurma tersebut seperti sebelum ini.Sedang Rasulullah SAW menyampaikan khutbah,tiba-tiba terdengar tangisan seperti tangisan budak,semakin lama semakin meninggi hingga Rasulullah SAW tidak dapat menyampaikan khutbah.Para sahabat cuba mencari suara tersebut.Rupa-rupanya,suara tersebut datang dari pohon kurma tadi.Maka Rasulullah SAW pun mendekati pohon kurma tersebut lalu mengusapnya seperti seorang ibu yang mengusap anak kecilnya.Baginda Rasulullah SAW terus mengusap pohon kurm itu sehingga tangisan tadi hilang.

Rupa-rupanya,pohon kurma tadi menangis kerana dia telah berpisaah dengan Rasulullah SAW.Dahulu dia menjadi tempat Rasulullah SAW berpaut ketika menyampaikan khutbah.Kini,dia telah terpisah sebanyak lapan langkah dengan Rasulullah SAW kerana baginda menyampaikan khutbah di atas mimbar.

Begitulah dua kisah tadi.
Saidina Bilal menangis mengenangkan Rasulullah SAW ketika mengucap syahadah.
Pohon kurma yang mati menangis merindukan Rasulullah sekalipun hanya berpisah lapan langkah sahaja dari Rasulullah SAW.

Jom muhasabah diri.
Bagaimana pula cinta kita kepada Rasulullah SAW?
Apa perkara yang di sekeliling kita yang boleh mengingatkan kita kepada Rasulullah SAW?
Bagaimana kita membuktikan cinta kita kepada baginda Rasulullah SAW?
Ada cukup hanya sekadar di bibir?


Marilah kita bersama-sama menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘role model’ dalam kehidupan kita kerana baginda Rasulullah itu adalah contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman.Dan jangan lupa,perbanyakkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW.Moga-moga kita tergolong di kalangan umat baginda yang mendapat syafaat di akhirat sana.Aameen…