Labels

Tuesday, January 17, 2012

Jom Kita Datang Taman Syurga! (1st Qiyamullail 2012)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Insha-Allah, tirai tahun 2012 pada tahun ini akan dibuka dengan program Qiyamullail seperti ketetapan yang berikut:

Tarikh : 21-22 Januari 2012M / 27-28 Safar 1433H
Masa: 3 PM (21 Januari) - 8 AM (22 Januari)
Tempat: Masjid Pekan Kota Belud
Yuran: RM 2 seorang



Sebarang keterangan lanjut sila hubungi: Saudara Azhar Haq di talian 014 3533107 atau Saudari Roha Abdullah di talian 013 5527307.
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman syurga dan mata air terpancar padanya. Mereka sentiasa mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini iaitu ketika di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik, mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam, dan pada akhir malam mereka beristighfar mohon keampunan Allah."
Ayuh kita pakat-pakat datang taman syurga di dunia dulu sebelum meraih taman syurga yang hakiki di akhirat kelak!

Sunday, January 15, 2012

Mengimbas Kembali ISCKB'11



Assalamualaikum warahmatullah..

Masa terus bergerak dan tidak pernah menunggu kita. Sudah dua minggu tahun 2011 meninggalkan kita. Jika diimbas kembali, terlalu banyak nikmat kurniaan Allah terhadap kita. Nikmat iman dan Islam, nikmat rezeki, nikmat dan ukhuwwah dan pelbagai lagi nikmat yang pastinya tidak akan pernah mampu dihitung oleh kita. Oleh itu, sudah menjadi kewajipan kita untuk bersyukur. Alhamdulillah.


Detik-detik terakhir 2011 yang lalu telahpun ditutup dengan program Islamic Summer Camp Gabungan Kota Belud-Kota Marudu pada tanggal 23 Disember hingga 25 Disember yang lepas. Rumah Anak Yatim Darul Bakti telah menjadi saksi berkumpulnya anak-anak muda dari sekolah menengah sekitar Kota Belud yang mantap-mantap belaka. Turut bergabung dengan anak-anak muda dari Kota Marudu yang kehebatan dan semangat juang mereka tidak dapat disangkal lagi. Islamic Summer Camp atau lebih mesra dipanggil ISC pada kali ini bertemakan "Remaja Cinta Dakwah, Penentu Tamadun Ummah".


Para peserta, barisan ahli jawatankuasa dan fasilitator telah berkampung selama tiga hari dua malam di Rumah Anak Yatim Darul Bakti. Tapak asal program sebenarnya terletak di Sekolah Agama Rakyat Tambulion tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan terpaksa diubah ke Rumah Anak Yatim Darul Bakti di Bobot. Syukur kepada Allah kerana masih memberikan kami tempat untuk berprogram. Jutaan terima kasih juga kepada pihak Darul Bakti kerana sudi membenarkan kami menjalankan program di tempat mereka.


ISC merupakan suatu program yang membentuk kepimpinan dan melatih kita untuk menjadi seorang pemimpin. Pada hari pertama program, para peserta telah didedahkan dengan kuliah dasar pertama yang bertajuk "Aku Cinta Dakwah" dan telah disampaikan oleh Encik Fairuz Bend iaitu Pengerusi Persatuan Siswazah Sabah.



Antara intisari kuliah dasar pertama ialah:
  1. Tugas dakwah tidak hanya terletak di bahu ustaz, ustazah, mufti, JAKIM dan JHEINS tetapi menjadi tanggungjawab semua orang yang beriman.
  2. Dakwah bertujuan menyeru orang yang belum beriman kepada beriman.
  3. Ia juga bertujuan menyeru orang yang telah beriman agar menghayati Islam yang benar dan lengkap.
LDK bertajuk "Ana Sayang Antum" berkisarkan kuliah dasar pertama

"Dakwah itu adalah nafas kehidupan manakala tarbiyah pula adalah sendi perjuangannya. Dakwah adalah cinta dan memang seperti itulah hakikat dakwah. Cinta akan meminta semuanya dari diri kita bermula dari fikiran kita, perhatian kita, berjalan kita, duduk kita dan tidur kita."
-As Syahid Hassan Al Banna-


Kuliah dasar kedua pula bertajuk "Bestnya Ada Geng" yang telah disampaikan oleh Ustaz Zaifuddin. Antara intisari kuliah ialah:

  1. Dakwah merupakan satu jalan yang jauh dan penuh dengan onak duri serta menuntut kita untuk berjemaah.
  2. Mustahil tugas dakwah dapat dijalankan secara bersendirian.
  3. Antara rahsia kejayaan dalam berjemaah ialah ikhlas, istiqamah, taat dan wala' (setia) kepada Allah, Rasul dan pemimpin Islam yang ikhlas berjuang kecuali pada perkara maksiat serta berdisiplin dan berakhlak mulia.

"Andai perjuangan ini mudah, pasti ramai yang menyertainya. Andai perjuangan ini singkat, pasti ramai yang istiqamah. Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia, pasti ramai yang tertarik padanya. Tetapi hakikat perjuangan bukan begitu. Turun naiknya, sakit pedihnya umpama kemanisan yang tidak terhingga. Andai rebah, bangkitlah semula! Andai terluka, ingatlah janji-Nya."
-As Syahid Hassan Al Banna-

Para peserta begitu bersemangat menjalankan LDK ke-2 yang bertajuk "Stick Together Team"


Sementara itu, kuliah dasar ketiga yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Fauzi Saifudin bertajuk "Saya Seorang Daie." Antara intisari kuliah ialah:

  1. Antara persiapan yang perlu dibuat oleh seorang daie (pendakwah) ialah persiapan rohani dan kepimpinan, persiapan ilmu, persiapan jasmani dan persiapan mentaliti.
  2. Seorang daie hendaklah mempersiapkan dirinya dengan ilmu keimanan, ilmu Al-Quran, ilmu sunnah, ilmu usul fiqh, ilmu sejarah umat Islam dan kekiniannya, ilmu bahasa Arab dan beberapa konspirasi musuh Islam.
  3. Peribadi seorang daie ialah mengenal jiwa, ikhlas, mempunyai kefahaman yang baik dalam agama, beramal dengan ilmu, selalu muraqabah dan muhasabah, mempunyai hubungan yang baik dengan Allah dan makhluk-Nya serta pergaulan yang baik dengan mad'u.
  4. Dakwah hanya akan tertegak dengan keazaman dan kesungguhan.

"Berikan aku 300 pasukan yang dada mereka tersurat ilmu pengetahuan, hati mereka berkilau-kilau dengan simbahan cahaya rohani, jasad mereka terlatih, maka ketika itu kamu ajaklah aku menembusi langit 7 lapisan, menembusi Bumi 7 petala atau menghancurkan kepala penjajah. Aku sanggup!"
-As Syahid Hassan Al Banna-


Intihanya, jazakallahu khairan kathira buat barisan ahli jawatankuasa, fasilitator, penceramah dan semua yang terlibat secara langsung mahupun di belakang tabir dalam menjayakan ISC pada kali ini. Jutaan terima kasih kepada para peserta dan mohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang program dijalankan. Tidak kira barisan ahli jawatankuasa mahupun peserta, manfaatkanlah mutiara ilmu yang dikutip sepanjang program dan ayuh kita mengepung dunia dengan kebaikan. Tahniah kepada semua yang terlibat!