Labels

TENTANG KAMI

Sejarah Awal Perjuangan PSS KB

Awal penubuhan UPI

Unit Pelajar Islam (UPI) Daerah Kota Belud telah ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah naungan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) yang juga baru ditubuhkan pada tahun itu. UPI ini menghimpunkan pelajar-pelajar Islam dari semua sekolah menengah sekitar daerah Kota Belud yang mempunyai kesedaran Islam dan berpotensi untuk meneruskan dakwah Islam. Penasihat UPI ini didokong oleh senior-senior graduan IPT dan ustaz ustazah dari sekolah-sekolah tertentu. Sepanjang penubuhan UPI banyak program luar sekolah yang telah dijalankan untuk mentarbiyah dan membentuk para pelajar yang akan menyambung rantai perjuangan dalam membawa dakwah Islam ini. Antaranya program tetap yang dijalankan ialah qiamullail bulanan, rehlah dan lain-lain. Memang sebelum ini dan ketika ini kawasan ini gah dengan pelbagai program Islamik. 

Malap? Terkubur?

Pada pertengahan tahun 2005, UPI kian malap dalam gerak kerjanya. Ianya disebabkan oleh kebanyakan ahli-ahlinya yang merupakan lepasan SPM dan STPM pergi membawa diri untuk meneruskan jihad akademik di tempat lain. Ada yang menyambung pelajaran di matrikulasi, tingkatan 6 di tempat lain, Nilam Puri dan sebagainya. Tidak kurang juga yang membawa diri mencari pekerjaan. Maka, tinggallah beberapa orang ahli untuk meneruskan gerak kerja dakwah UPI. Lebih menyedihkan apabila UPI hampir terkubur disebabkan tiada penggerak lagi yang akan menyambung perjuangan ini. Mungkin juga disebabkan penggerak-penggerak UPI yang masih mentah dan tiada pengalaman dalam menyusun gerak kerja dan pantauan dari senior-senior yang malap. Perkembangan UPI juga semakin lama semakin malap disebabkan perhubungan yang terputus sesama ahli kerana ramai ahli menukar nombor telefon. 
Adakah ianya akan bersinar kembali?

Pada pertengahan tahun 2006, ahli-ahli yang baru tamat manyambung pelajaran dari matrikulasi pulang ke kampung halaman dengan perasaan tertanya-tanya, adakah UPI masih wujud? Tiada khabar berita diterima melainkan negatif. Dalam tempoh masa terdekat, semakin ramailah generasi-generasi baru yang kembali ke kawasan. Bahkan semuanya hebat-hebat dan mantap-mantap belaka. Apa tidaknya, mahasiswa/si pelajar IPT berdarah muda yang mempunyai semangat baru untuk meneruskan berjuangan menegakkan Islam. Dengan pengalaman yang dikutip dari kampus, alhamdulillah gerakan Islam yang membawa syiar Islam ini bersinar kembali. Tetapi kali ini bukan lagi diberi nama UPI tetapi Persatuan Siswazah Sabah Cawangan Kota Belud. Program-program kerohanian dan pentarbiyahan diaktifkan semula terutamanya ketika cuti semester IPT dimana ramai ahli-ahli pulang ke kawasan. 
Semakin matang

Pada saat ini, keahlian PSSKB semakin mencapai peningkatan dan Kelab Remaja Ukhwah (KRU) yang ditubuhkan oleh PSS Pusat pada Disember 2007 mendapat sambutan yang baik dikalangan pelajar. Ya, program-program keagamaan kini semakin dicari oleh masyarakat. Cuma memerlukan penggerak yang sanggup berkorban. Semoga perjuangan ini dapat diteruskan hingga ke akhirnya kerana bukan kita yang memulakannya dan bukan pula pengakhirnya tetapi hanyalah penyambungnya.

Catatan:
Assalamualaikum sahabat-sahabat, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik sekalian. Kenapa sejarah ringkas ini ditulis dan dilakarkan disini bukanlah untuk mengungkit atau sekadar mengenang masa silam tetapi hanyalah untuk memuhasabah, mengambil iktibar dan pengajaran agar dapat memperbaiki lompang-lompang yang boleh membawa tenggelamnya dan karamnya kapal perjuangan. Mengapa pada saat ini? Ketahuilah wahai sahabat-sahabat sekalian...saat ini sangat sukar bagi sesetengah orang. Tidak mustahil sejarah lama kembali berulang. Walaupun keahlian penggerak semakin ramai tetapi pada hakikatnya penggeraknya hanya segelintir sahaja. Ramainya pergi membawa diri meneruskan perjuangan yang belum selesai. Ya, perjuangan itu tidak akan selesai melainkan tibanya hari qiamat. Buat sahabat-sahabat yang berasa keseorangan, janganlah bersedih kerana bukan kita keseorangan. Tetapi ilmu didada itu teman dan perjuangan itu rakan. Buat sahabat-sahabat yang merasa lemah, ingatlah kita tidak dijadikan melainkan untuk beribadah, menjadi hambah dan khalifahNya. Dan buat semua...renunglah, fikirlah...apa sumbangan kita terhadap gerak kerja dan perjuangan kita. Kukuhkan ukhwah mantapkan gerak kerja. SYAHID ATAU MENANG!
p/s: Sebarang komen atau respon terhadap tulisan ini boleh diutarakan kepada penulis.
Insan yang lemah
Jannah04



Siapakah PSSKB Dan Siapa Pula KRUKB?

Muqaddimah
Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayangNya Persatuan Siswazah Sabah Caw. Kota Belud (PSSKB) kini semakin dewasa dan berusaha untuk melahirkan pelapis-pelapis di medan dakwah ini. Rentetan dari artikel bulan Februari lalu yang bertajuk 'Sejarah Awal Perjuangan PSS' yang ditulis oleh Jannah04, kali ini saya akan menulis mengenai visi, misi dan objektif PSS khususnya PSSKB.
Pengenalan PSSKB & KRUKB

 
Persatuan Siswazah Sabah (PSS) merupakan satu badan NGO yang berdaftar secara sah dengan kerajaan dan PSSKB merupakan salah satu cawangan daripada PSS ini. PSSKB mempunyai visi yang sama sejak awal penubuhannya iaitu menjadikan PSS sebagai entiti terpenting di Kota Belud. Manakala misinya dipinda sedikit daripada misi awalnya iaitu melahirkan ahli PSS dan remaja (KRU) yang berketrampilan melalui aktiviti yang berbentuk ilmiah bagi mewujudkan bi'ah solehah di Daerah Kota Belud. Antara objektifnya pula adalah memperkenalkan PSS diperingkat sekolah-sekolah di Daerah Kota Belud, melahirkan remaja Islam yang mempunyai aqidah Islamiyah yang kukuh, membentuk remaja Islam yang berperibadi mulia berlandaskan ajaran Islam yang syumul dan memberi galakan kepada remaja Islam untuk suka mengikuti program yang berbentuk pemantapan peribadi, komunikasi dan sahsiah.
PSS (termasuklah PSSKB) mempunyai satu kelab yang khas untuk para remaja yakni para pelajar peringkat menengah iaitu Kelab Remaja Ukhwah (KRU). Ianya mempunyai matlamat tersendiri untuk melahirkan para remaja yang berakhlak mulia yang bebas dari gejala sosial yang kian parah melanda masyarakat kini.Untuk keterangan lanjut berkaitan kelab ini bolehlah layari

http://d-kru.blogspot.com. Risaukan keselamatan anak-anak?
Mungkin ramai ibu-bapa dan guru-guru risau jika membenarkan anak-anak mereka keluar pada waktu malam mengikuti program-program atau aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Itu adalah perkara baik yang perlu ada pada seorang ibu, bapa atau guru. Tetapi... haruslah difikirkan secara matang kebaikan-kebaikan yang diperolehi apabila membenarkan anak-anak keluar berprogram. Seandainya ia membawa kearah kebaikan apa salahnya jika mereka dibenarkan membentuk identiti mereka sendiri demi keselamatan mereka di akhirat. Ataupun kita sudah yakin keselamatan mereka di akhirat terjamin dengan hanya duduk di rumah menonton TV, tidur 24 jam dan makan bila rasa nak makan tanpa menghiraukan suruhan agama yang langsung tidak diperingatkan?
Harapan kepada masyarakat
Kami dari warga PSSKB dan KRUKB ingin menyatakan harapan kami agar masyarakat dapat menerima kami dengan sebaiknya demi Islam tercinta. Kami membawa Islam berlandaskan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan bukanlah membawa mana-mana ajaran sesat yang terdetik dalam kotak fikiran masyarakat Islam zaman moden ini. Adakah mengajak supaya bersolat 5 waktu, berpakaian menutup aurat yang dikatakan ketinggalan zaman, menghadiri majlis-majlis ilmu itu merupakan ajaran sesat? Atau menonton TV berbentuk hiburan di rumah, meninggalkan solat walau satu waktu, berpakaian yang tidak cukup kain mengikut acuan Barat itu perkara baik dan bermanfaat? Fikirkan sendiri... Ingatlah kata-kata kumpulan Devotees, "tiada bahagia tanpa iman..tiada kebahagiaan tanpa Islam di jiwa."

P/S:
- Mohon kemaafan andai ada kata-kata yang mengguris perasaan pembaca.
- Sebarang komen/ respon amat dialu-alukan dan bolehlah dihantar ke pss_kb@yahoo.com
Hamba Allah yang dhaif penggerak psskb09

0 comments:

Post a Comment