Assalamualaikum WBT kepada sahabat2,
Alhamdulillah Allah telah memberikan hidayah untuk kalian membaca entri blog
kali ini. 12 Rabiulawal yang lalu adalah tarikh kelahiran nabi junjungan Nabi
Muhammad SAW, Annabi sollu alaih. Berselawatlah kepada baginda
sebanyak-banyaknya agar kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat
dari baginda Rasulullah dan terpilih menjadi golongan yang mencintai dan
dicintai baginda kelak di hari kebangkitan. Semoga dengan selawat bukan hanya sekadar
membangkitkan kecintaan kita terhadap peribadi Rasulullah SAW sahaja bahkan ia
juga membangkitkan semangat untuk menyambung perjuangan Rasulullah. Dan
perjuangan inilah tidak ramai umat Islam berminat akibat terpaksa melalui
rintangan dan halangan yang menuntut agar seseorang itu berkorban masa, harta,
jiwa dan raga.
Sebagai
umat yang mencintai Rasulullah, wajib untuk kita berusaha dan
bersungguh-sungguh dalam meneladani baginda dalam memperjuangkan Islam dan mahu
berjuang di jalan Allah. Firman Allah dalam Surah At-Taubah: 38-39 yang maksudnya
:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah
beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah SWT”, kamu berasa keberatan
(suka tinggal dalam menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah
kamu lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu adalah
salah) kerana kesenangan hidup ini hanya sedikit jua berbanding dengan
(kesenangan hidup) diakhirat kelak. Jika kamu tidak keluar beramai-ramai ( untuk
berperang pada jalan Allah SWT membela agama-Nya, Allah SWT akan menyeksa kamu
dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan Ia akan mengantikan kamu
dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memudaratkan Allah sedikit
pun. Dan ingatlah Allah SWT Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Perasaan
perlu kepada Allah
Kita
perlu memahami dan menghayati, sekiranya kita tidak mahu berjuang di jalan
Allah SWT, maka Allah SWT akan memilih orang lain untuk memperjuangkan Islam.
Justeru itu, kita haruslah menggantungkan segala pengharapan dengan sepenuh
hati dan perasaan agar kita terus dipilih oleh-Nya dalam perjuangan ini.
Perasaan bergantung harap pada Allah SWT ini, akan melenyapkan semangat dan
kecintaan kita kepada dunia, kedudukan nama dan mendambakan perhatian manusia
serta pelbagai keadaan yang lain.
Sesungguhnya
kita perlu beriman bahawa kita tidak dapat memastikan usia kita akan kekal lama
sepertimana yang kita harapkan. Kita akan mati apabila sudah tiba waktu dan
masanya untuk menghadap Ilahi, dan kematian itu pasti menjelma. Perasaan ini
juga akan mencetuskan rasa keperluan
kita kepada Allah SWT dan mendorong kita untuk untuk terus bekerja, berkhidmat
serta berbakti kepada Allah SWT di jalan yang mulia ini.
Awasi
permasalahan futur
Perjuangan
Islam yang sedang digerakkan kea rah kemenangannya ini amat memerlukan kepada
komitmen kita dengan gerak kerja gerakan. Pada zaman ini, marhalah (peringkat)
jihad memerlukan pemimpin jemaah yang mempunyai sifat jihad yang berterusan,
yang tidak mengenal erti lemah, letih, tidak bersemangat dan sebagainya.
Menjadi perkara yang aneh apabila seseorang muslim yang telah merasai kemanisan
iman dan memahami hakikat Islam tetapi sanggup lari dari medan amal yang
memenangkan Islam.
Seseorang
yang fikrahnya jelas mengenal Islam, akan sentiasa berusaha mencari ruang dan
kesempatan untuk menyuburkan iman dan semangatnya bagi menyemarakkan kerja di
dalam perjuangan, serta membetulkan kesalahan dan kesilapan di sepanjang
kehidupannya.
Seseorang
yang menghidap penyakit futur, akan merasa jemu dan tidak bersemangat untuk
menghadiri program-program gerakan serta berada di dua persimpangan. Keadaannya
sama ada akan terus tenggelam dalam lautan futur, seperti terpengaruh dalam
suasana persekitarannya sehingga terus tidak menghadiri gerak kerja (program)
ataupin diselamatkan oleh Allah. Sekiranya Allah SWT ingin menyelamatkan orang
yang futur ini, dia akan diberi peringatan oleh para sahabat seperjuangannya.
Permasalahan
kelesuan hari ini
Antara
sifat-sifat mazmumah seperti mudah putus asa, lemah dan tidak bersemangat,
apabila wujud dalam diri ahli-ahli gerakan ia akan menyebabkan berlakunya
masalah keciciran dalam organisasi. Keciciran ini bukan sahaja melemahkan
gerakan Islam itu sendiri, bahkan wujud dikalangan mereka yang terus
meninggalkan kerja-kerja perjuangan. Sifat mazmumah yang wujud adalah berpunca
daripada masalah gerakan dan individu itu sendiri.
Antara
perkara yang menyebabkan futur terbahagi kepada tiga punca, iaitu:
Pertama
: berpunca daripada gerakan, iaitu:
Sebahagian
masalah yang berpunca daripada gerakan ialah:
a.
lemah pada sudut tarbiah
Al-Ustaz
Fathi Yakan berkata: “sudut tarbiah kadang kala diletakkan pada sudut yang
sangat terbatas, sedangkan sudut-sudut lain dalam gerakan seperti sudut
pengurusan gerakan (kepejabatan), tanzim dan siasah yang diberi perhatian yang
cukup serius. Gerakan yang mempunyai kelemahan dari sudut tarbiah ini akan
mengakibatkan kejatuhannya. Kekuatan tarbiah hendaklah terus dilaksanakan dan
tidak terhenti sekali pun pada waktu yang cukup kritikal ataupun dalam keadaan
yang genting. Ahli gerakan (jemaah) memupuk hubungan dengan Allah SWT dan Islam
itu sendiri. Manakala harakah dan tanzim hanyalah sebagai wasilah dan ia
bukannya matlamat utama”.
b.
pimpinan tidak memposisikan ahlinya pada kemahirannya
pimpinan
tidak memposisikan ahlinya pada kemahirannya juga merupakan faktor yang akan
melemahkan sesebuah harakah (gerakan) dan faktor ini sangat membahayakan
gerakan. Sesungguhnya kejayaan sesebuah harakah terletak pada kemahiran ahlinya
dan kesesuaian tugasan yang diberikan. Dengan ini ia akan mengwujudkan kejayaan dan peningkatan kualiti jemaah
Islam. Harakah Islamiyyah kadang kala bertambah dan kaya dengan tenaga ahli
jemaah. Namun, apabila tenaga-tenaga ini tidak digunakan, jemaah sekali lagi
akan tersasar dalam menuju matlamatnya.
c.
tidak membuat pemantauan selanjutnya terhadap gerak kerja ahli jemaah
Tidak membuat pemantauan selanjutnya terhadap
gerak kerja ahli jemaah, juga akan membawa kepada unsur mazmumah. Pemantauan selanjutnya
yang dimaksudkan ialah pantauan yang dibuat dalam bentuk tanzim (organisasi)
dan ukhuwah (persahabatan).
Kedua:
berpunca daripada diri individu
Sebahagian
masalah yang berpunca daripada individu ialah:
a) ahli yang tidak berdisiplin
b) permasalahan yang berpunca daripada sumber
makanan dan mata pencarian
c) bersikap sambil lewa terhadap kerja-kerja
gerakan.
Renungan
terhadap surah Al-Asr
Mengamalkan
apa yang diajarkan di dalam surah al-Asr, khususnya terhadap penjagaan masa,
seringkali diabaikan oleh sesetengah anggota jemaah. Lebih malang lagi, apabila
penjagaan masa itu sering kali diabaikan oleh kepimpinan yang memegang amanah
penting di dalam gerakan Islam. Tiada sebarang faedah jika surah ini yang
sering dibaca pada setiap akhir majlis, apabila kita tidak mengamalkannya dalam
realiti kehidupan.
Penutup
Semoga
apa yang ditulis ini menjadi pengajaran kepada semua ahli jemaah untuk menuju
ke gerbang kejayaan. Demi membangunkan satu kekuatan baru dalam era masa kini
secara realitinya ummah sangat memerlukan cahaya penyelamat. Cahaya penyelamat
itu bertujuan bagi melepaskan mereka daripada kezaliman yang sudah semakin
serakah dalam mencengkam kebebasan dan hak yang hilang.
Semoga
Maulidur Rasul kali ini memberikan hembusan semangat baru agar kita lebih
bersungguh-sungguh menjadi mata-mata rantai yang akan meneruskan perjuangan
mulia Rasulullah SAW. Allahumma Salliy a'la sayidina Muhammad wa a'la .. alihi
wa sohbihi wassallim.
p/s : sumber daripada buku Bingkisan Fikrah
Pejuang oleh Syeikh Muhd Zainul Asri Bin Hj Mohd Romli. Beliau telah
mengijazahkan buku ini kepada semua hadirin yang hadir termasuk penulis pada
majlis pengajiannya di Masjid An-Nur Jitra Kedah dan menghalalkannya untuk
disebarkan. Semoga bermanfaat untuk ummah. Wallahualam.