Labels

Sunday, June 14, 2015

Tinta Ramadhan


Assalammualaikum wbt. Apa khabar diri dan iman kita saat ini? Moga sentiasa dalam peliharaan Allah. Sedar tidak sedar beberapa hari lagi kita bakal menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam, bulan yang penuh berkat, bulan pengampunan dan bulan untuk menuai pahala sebanyak-banyaknya. Semoga Allah panjangkan usia dan memberi kesempatan kepada kita untuk berada di bulan ramadhan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.


Ramadhan sebagai bulan mendidik diri. Didikan tidak bernilai tanpa adanya praktikal dalam kehidupan kita. Dalam bulan ini, kita dididik untuk berasa lapar, bukan untuk tujuan mendera tetapi mendidik diri agar sentiasa punya sikap sabar dalam mengawal nafsu. Sebelum ini juga, kita mungkin tidak biasa melakukan ibadah yang terlalu banyak namun dalam bulan ini manusia berlumba-lumba melakukan ibadah semata-mata inginkan syurga. Bukankah janji Allah membuka pintu syurga seluas-luasnya pada waktu ini?
Pepatah melayu, ala bisa tegal biasa ini perlu dihayati. Apabila kita sudah biasa melakukan sesuatu amal, amal ibadah itu akan sentiasa diteruskan pada bulan-bulan yang lainnya bukan tertakluk semasa bulan ramadhan sahaja. Maka didikan inilah yang menjadikan kita hamba, hamba yang sentiasa kenal pencipta dan sentiasa melakukan perintah dan jauhi laranganNya.

Imam Al-Ghazali pernah menyebut tiga tahap puasa seseorang, tahap pertama; puasa al-Umum iaitu menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tahap kedua; puasa al-Khusus iaitu menahan lidah, mata, telinga, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa dan tahap ketiga; puasa Khusus al-Khusus iaitu menahan hati kita daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sahaja, contohnya berfikir makanan pada waktu berbuka puasa nanti. Puasa kita berada di tahap yang mana? Jika masih pada tahap pertama bermakna kita perlu lebihkan mujahadah kita untuk sampai tahap yang paling tinggi.
Payah bukan? Tapi kelazatan beribadah memang datangnya dengan susah payah.

Apakah persiapan kita sebelum ramadhan?

Menjadi tabiat segelintir kita, persiapan dilakukan sebelum menyambut syawal iaitu dengan membeli baju dan perhiasan rumah baru dan sebagainya, namun jarang sekali kita memaknakan ramadhan dengan melakukan persiapan sebelum tibanya ramadhan. Persiapan mungkin boleh dilakukan dengan membiasakan diri dengan berpuasa sunat pada bulan rejab atau syaaban atau pada hari-hari sunat berpuasa, melakukan ulangkaji tentang puasa, kelebihan-kelebihan bulan ramadhan dan juga mengambil tahu amalan-amalan utama dan besar ganjarannya disisi Allah. Jangan jadi manusia yang hanya berpuasa tetapi tidak tahu menghayati erti puasa, kerana tanpa penghayatan inilah ramai dalam kalangan kita berpuasa pada zahir tetapi tidak pada batinnya.

Ke mana hilang acuan Ramadhan?

Ramadhan menjadi agen pembinaan akhlak. Sebagaimana ramadhan melahirkan insan hebat pada masa dahulu, tentera yang sanggup berjuang melawan panasnya mentari, penatnya berperang tatkala berpuasa, namun pengorbanan itulah yang melahirkan seorang hamba kepada Tuhan, insan berjiwa besar dan sentiasa berdisplin dalam hidup. Namun, hari ini kita tertanya-tanya, ke manakah sudah pemuda dan pemudi acuan ramadhan itu? Adakah kerana kita tidak pernah menghayati ramadhan sehingga genap sebulan kita berpuasa jiwa kita tetap kosong tanpa ada apa-apa rasa?

Bahkan, pada masa ini kita lebih banyak mendengar budaya-budaya negatif dan bersahaja. Pada hari ini, kita tidak dapat lari daripada sikap manusia yang tidak peduli akan keistimewaan ramadhan ini. Keistimewaan dirosakkan dengan adanya sikap-sikap seperti tidur dalam masa yang panjang. Mereka beranggapan tidur akan menghilangkan rasa lapar dan tidak kurang pula masjid-masjid yang penuh dengan manusia yang  bergelimpangan tanpa mempunyai apa-apa niat yang mendekatkan diri kepada Allah. Budaya hormat juga semakin pudar dalam diri masyarakat semasa ramadhan. Menghormati bulan puasa juga bermaksud menghormati orang yang berpuasa. Hal ini mungkin tidak menjadi kesalahan undang-undang apabila terdapat orang Islam yang makan di khalayak ramai tetapi ianya bersangkut paut dengan peribadi dan akhlak seseorang. Tambahan pula, ramainya kunjungan terawih di masjid-masjid pada awal ramadhan tetapi sedikti pada  akhirnya. Masing-masing sibuk melakukan persediaan syawal. Ramadhan juga tidak diraihkan dengan sebaiknya, lebih banyak masa melakukan perkara yang tidak berfaedah daipada amal yang membawa pahala.

Jadi, tepuk dada tanya iman kita, mampukah kita menjadi acuan ramadhan sebaiknya jika kita terus dengan sikap 'ambil ringan' itu?

Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengisi ramadhan yang bakal tiba ini dengan sebaik-baik amalan. Ukurlah sejauhmana tahap baiknya ramadhan kita pada tahun sebelumnya untuk kita melakukan perubahan pada kali ini agar ramadhan pada kali ini menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Kata pada hati "Ini mungkin Ramadhan Terakhir buat aku"

Dengan kesempatan ini juga, saya mewakili Persatuan Siswazah Sabah Cawangan Penaja Kota Belud memohon maaf andai ada tersilap kata dan perbuatan kepada semua. Berusahalah untuk mulakan ramadhan dengan sifar dosa dan akhiri dengan sebesar-besar pahala dan ganjaran daripadaNya. Moga sentiasa dalam redha Allah.

Wallahu'alam.

Sariah Binti Manung
Timb. Pengerusi, Persatuan Siswazah Sabah
Cawangan Penaja Kota Belud 14/15