Labels

Sunday, March 21, 2010

PESANAN BUATMU TEMAN

Sekian lama kita bertemu, banyak suka duka kita tempuhi bersama. Semakin erat ukhwah kita dan semakin mantap diri kita. Namun, sekuat mana pun kita, kita tidak akan mampu melakukan semuanya tanpa Allah dijadikan sebagai pelindung utama. Sehebat manapun kita, kita tidak akan disanjung jika akhlak kita rosak. Jagalah hubungan dengan Allah dan manusia sebaiknya. Hablum minallah hablum minannas.

Perkara utama yang perlu dijaga ialah hubungan kita dengan Al-Khaliq. Solat, bacaan qur’an, zikir al-ma’thurat dan qiamullail perlu dijaga kerana ianya penguat hati dan rohani kita. Sebabnya, banyak ujian dan dugaan yang pasti berkunjung apatah lagi buat insan yang bergelar pendokong dakwah Islam.


Andainya perkara utama ini lulus, namun ianya masih tidak lengkap jika hubungan sesama manusia tidak baik. Terutamanya hubungan dengan ibubapa. Walaupun realitinya kebebasan kita terhalang oleh ibubapa, namun bijaklah mengurus masalah ini. Perlahan-lahan dalam memahamkan ibubapa kita. Ibubapa mana yang tidak sayangkan anaknya, sudah tentu mereka risau jika anak kesayangannya sering keluar rumah. Walaupun kaluarnya kita dari rumah untuk gerak kerja Islam, namun maklumkanlah keluarga kita terlebih dahulu. Patuhilah arahan mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Perjuangan Islam tidak pernah menyingkirkan ibubapa dari pendokongnya bahkan mengutamakan lagi mereka. Pasti ada jalan penyelesaiannya walaupun agak lambat mereka memahami kita. Namun, bersabarlah demi kelancaran gerak kerja Islam yang kita bawa.


Hati guru-guru perlu dititikberatkan kerana Allah tidak redha dengan ilmu kita jika guru kita tidak meredhainya. Silap-silap kita boleh terkandas bukan sahaja di medan akademik bahkan juga di medan perjuangan. Na’uzubillahi min dzalik... Memanglah sijil akademik bukan pengukur tahap ilmu dan keupayaan dakwah kita, tetapi ianya adalah wasilah untuk kelangsungan perjalanan dakwah dan gerak kerja kita. Lagi pula, Allah mengangkat tinggi martabat orang yang berilmu dan masyarakat menghormati orang-orang yang berilmu. Maka, gunakanlah masa dan peluang yang ada dengan sebaiknya.


Hubungan dengan rakan-rakan dan teman-teman juga perlu dijaga kerananya mereka adalah antara mad’u kita. Kita bukan berdakwah dengan pokok-pokok, haiwan-haiwan tetapi dengan manusia. Dan adakalanya teman-teman kita jadi pembantu kita dalam perjuangan ini. Misalnya, mereka membantu dalam akademik seandainya kita mengadakan perbincangan dalam kumpulan. Mereka juga turut membantu perjuangan kita dengan menghadiri program-program yang kita anjurkan. Oleh itu, perbaikilah hubungan yang retak agar tidak berkecai.

Seterusnya, jagalah hubungan kita dengan masyarakat sekitar. Walaupun pelbagai macam tohmahan dan fitnah yang kita terima namun pekakkanlah telinga untuk itu jika kita yakin kita di jalan yang benar. Tetapi, sensitif lah dengan isu agama Islam yang kita cintai. Segala mehnah dan tribulasi itu menjadi penguat kita dalam perjuangan ini.


Sedangkan Rasulullah SAW menghadapi banyak dugaan dan cabaran inikan pula kita manusia biasa. Jadikan sirah Rasul sebagai pedoman dalam perjalanan dakwah ini.


Allahu ghoyatuna,

ar-rasul qudwatuna,

al-Qur’an dusturuna,

al-jihadu sabililuna,

al-mautu fi sabilillah asma amanina...


Allah adalah tujuan kami,

Rasulullah teladan kami,

Al-Qur’an pedoman hidup kami,

jihad adalah jalan hidup kami,

mati dijalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi...

0 comments:

Post a Comment