Labels

Tuesday, May 30, 2017

Mengintai Semangat Srikandi Yang Dirindui Syurga

Ksatria berkuda hitam

Tunggangan kuda dari satu arah jelas kedengaran membawa bersama semangat berjuang. Di tangannya digenggam kuat sebilah tombak yang banyak melumpuhkan musuh durjana.
Dia meluncur laju lalu dibenamkan mata tombak ke badan tentera-tentera Rom itu. Lagak tempurnya seakan Khalid Al-Walid, pahlawan terulung.
Pejuang Muslimin yang melihat pertempuran itu tertanya-tanya gerangan pahlawan berani itu. Pahlawan serba hitam itu? Diselubungi secebis kain sebagai hijab wajah dan berserban hijau. Siapakah ksatria berkuda hitam itu?
Sang perisai Rasulullah
Dilihatnya pejuang Muslimin sedang kelelahan menuju kekalahan, lantas dia segera bangkit, pedang usang dicapai, digenggam utuh bersama kekuatan yang berkobar.
Dengan nama Allah mengiringi setiap langkah menuju medan pertempuran, langkah ditukar kencang lalu menyerang musuh-musuh sesat itu.
Setiap serangan berjaya dipatahkan, bisikan zikrullah menemani kala berjuang. Dia berpaling kepada Rasulullah silih berganti ke arah lambakan anak-anak panah di awangan mencari susuk tubuh Kekasih Allah.
Segera dia berlari lalu mengibas setiap tujahan anak panah dengan pedangnya tanpa menghiraukan luka-luka di badan sendiri. Siapakah wanita sang perisai Rasulullah ini?
Wanita wali Allah
Alunan suara yang merdu menemani setiap dayungan sampan yang bergerak seirama lunak suaranya, untuk menarik minat orang menaiki sampannya.
Dia gadis biasa yang hidup diselubungi kejahilan masyarakat Arab, anak si pendayung sampan tetapi dianugerahkan kelunakan suara sehingga mampu mengusik jiwa seorang lelaki yang mendengarnya.
Dipersembahkan kepada raja untuk dijadikan gadis penuang arak sambil menghiburkan raja dan tetamu raja dengan nyanyian gemersiknya.
Di saat keinsafan mengetuk pintu hati, gadis itu memilih jalan sufi sebagai jihad. Rintihan dalam setiap sujud dan bisikan insaf zikrullah menjadi peneman kian waktu beranjak. Keajaiban dan pertolongan utusan Allah datang menjengah dalam pengabdiannya untuk Sang Pencipta.
Siapakah wanita Wali Allah ini?
Ksatria berkuda hitam itu, dia adalah Khaulah al-Azwar, Bidadari Besi.
Wanita Sang Perisai Rasulullah itu, dia adalah Nusaibah, Ummu Umarah, Srikandi Perkasa.
Wanita wali Allah yang memilih jalan sufi sebagai jihad bertemu Sang Pencipta, dia adalah Rabiatul Adawiyah, pemilik suara lunak itu.
Siapakah gerangan hebat ini?
Mereka adalah muslimat zaman Rasulullah yang teguh di jalan Allah mengasak musuh-musuh dalam setiap tusukan tombak, hunusan pedang malah rintihan dalam setiap sujud.
Mereka adalah pahlawan dan pejuang jihad yang utuh melaungkan kalimah Allah. Mereka adalah srikandi Islam yang dirindui Syurga.
Begitu hebat muslimat pada zaman Rasulullah yang menjulang tinggi jihad sabilillah.
Bagaimana dengan muslimat pada zaman ini? Zaman berteknologi canggih, zaman yang mengejar globalisasi dalam mempertaruhkan kebenaran akhirat dalam kepalsuan duniawi.
Srikandi dahulu penuh santun, peribadi terpuji, perilaku pekerti dan bicaranya dihormati malah bermain pedang sebagai hobi, bermunajat menjadi amalan dan syahid menjadi buruan.
Bagaimana dengan srikandi pada era modenisasi ini? Yang ber’selfie’ menjadi hobi, mencaci menjadi amalan dan populariti menjadi buruan.
Jika srikandi dahulu, malunya sangat tinggi sehingga wajah dihijabi, bagaimana srikandi kini? Yang malunya sangat menipis sehingga lambakan foto di laman sosial tanpa silu.
Wahai muslimat pemangkin dunia, tidak malukah engkau dengan gerangan pejuang Islam hebat ini? Yang hidup dan matinya untuk Ar-Rahman.
Sudahlah dengan ulahmu. Pada saat srikandi Islam ini berjuang hidup dan mati hanya untuk Allah, engkau sewenangnya menawarkan nyawamu untuk menyembah bumi dari tingkat bangunan gara-gara masalah duniawi tanpa menjadikan cinta Al-Khalid sebagai matlamatmu.
Wahai wanita ciptaan terindah, tidak terkesankah engkau dengan pengorbanan pejuang jihad ini? Yang bibir sentiasa melaungkan kalimah suci Allah.
Usah dirimu dipertontonkan kepada khalayak. Apakah benar kau merasa selesa berkain sempit berpakaian terdedah? Tutup sempurna auratmu, wahai muslimat.
Cubalah kau berpakaian menutupi sempurna pula, nescaya kau akan lebih selesa malah dilindungi kelak. InsyaAllah.

Wahai wanita perhiasan dunia, tidak tersuntikkah engkau dengan semangat juang mereka yang maha dahsyat ini?
Sudah-sudahlah membuat onar, di mana engkau jadikan maruah wanita sebagai taruhan, martabat perempuan kau hinjak-hinjakkan.
Tanpa rasa bersalah kau menelan pil-pil haram, tanpa rasa berdosa, kau jadikan ranjang sebagai tempat bermain memuaskan nafsu serakah.
Tanpa rasa iman, kau membunuh nyawa yang belum pun sempat melihat dunia yang mungkin nyawa itu akan menjadi anugerah terindah yang akan mendoakan untukmu kelak.
Berhentilah menjadi ibu kejam yang membuang darah daging sendiri di tong sampah, longkang dan lubang tandas.
Di mana hati nuranimu yang dilahirkan suci fitrah bak kain putih? Apakah salah corak-canting orang tuamu atau dirimu sendiri yang tidak ingin dihiasi corak yang indah acuan Islam?

Srikandi yang dirindui Syurga

Wanita kini perlu segera bangkit. Usah bergantung kepada para muslimin semata. Wanita, kita punya kekuatan sendiri. Kita punya matlamat tersendiri.
Cukuplah srikandi Islam ini sebagai pembakar semangat untuk terus mengangkat maruah dan harga diri wanita. Usah leka lagi.
Wahai wanita solehah yang dicemburui bidadari syurga, perhebatkan dirimu! Kukuhkan Imanmu! Utuhkan nalurimu! Teguhkan peribadimu! Jangan mundur! Jangan mengeluh! Jangan mengaduh! Usah kita mempersiakan pengorbanan mereka dalam mengangkat tinggi martabat Islam.
Tidak luluhkah hati kita wahai wanita, saat dikhabarkan Rasulullah menangis dan sedih apabila Kekasih Allah itu melihat begitu ramai penghuni neraka adalah kaum wanita.
Pada malam Rasulullah diisra’kan, Rasulullah melihat perempuan diseksa dengan pelbagai seksaan. Ada perempuan yang digantung rambutnya, otaknya mendidih kerana auratnya tidak dijagai dengan sempurna.
Apakah kalian masih mahu berpakaian terdedah untuk tatapan bukan mahrammu?
Rasulullah juga melihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya. Ada juga perempuan yang memakan badannya sendiri kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan mahrammya dan suka mengumpat orang lain.
Wahai wanita, adakah peristiwa ini belum cukup untuk menanam keinsafan dalam hati kita?
Adakah kita ingin merasai sendiri sehingga merayu memohon untuk dikembalikan ke dunia hanya kerana kita masih belum bertaubat?
Ayuh, muslimat, kita memohon keampunan selagi pintu taubat belum tertutup rapat, selagi mentari belum diufuk barat.

Puisi buat Srikandi Terulung

Aku tidak sehebat Khaulah Al Azwar, yang pantas menewaskan pasukan Romawi dalam tunggangan kudanya,
Tidak seberani Nusaibah, Ummu Umarah yang mengibas panahan-panahan yang ingin menusuk Rasulullah dengan pedangnya,
Tidak seteguh dan sekental Rabiatul Adawiyah yang mengabdikan diri dalam setiap doa dan zikirnya,
Aku hanya gadis biasa tapi punya cita luar biasa,
Aku ingin seperti kalian, para Mujahidah!
Kalian yang mempunyai keberanian terpuji,
Kalian yang menjulang tinggi jihad sabilillah,
Kalian yang mempertaruhkan kemanisan akhirat dalam perjuangan,
Ayuh, srikandi Islam! Ayuh bersamaku!
Kita bangkit bersatu menyemarak semangat juang yang kian terhapus,
Ayuh bersamaku!
Kita bangkit mengembalikan semangat para Srikandi Islam yang tertindas ini,
Bukan medan peperangan yang aku minta kau berdiri,
Bukan pedang dan tombak aku minta kau handalkan,
Cukuplah sekadar iman dan taqwa yang diperkukuh dahulu,
Cukuplah sekadar akhlak terpuji yang didahagakan,
Cukuplah sekadar cinta Al-Qudus yang didambakan,
Cukuplah sekadar martabat Islam yang diperjuangkan,
Jangan lemah! Jangan leka!
Oh Tuhan!
Jadikan aku wanita solehah, yang bisa menembusi mata dunia dengan kekuatan iman,
Dunia ini pasti kita takluk.
Untuk menjulang tinggi panji-panji kebenaran,
Kerana kita… Srikandi terulung. 

Penulis : Amni

Marhaban Ya Ramadhan

UCAPAN PENGERUSI PERSATUAN SISWAZAH SABAH KAWASAN PENAJA 
KOTA BELUD, SEMPENA BULAN RAMADHAN. SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK. IKHLAS DARIPADA PERSATUAN SISWAZAH SABAH  (PSS) DAN KELAB REMAJA UKHUWWAH (KRU) KAWASAN PENAJA KOTA BELUD.


 


Sunday, June 14, 2015

Tinta Ramadhan


Assalammualaikum wbt. Apa khabar diri dan iman kita saat ini? Moga sentiasa dalam peliharaan Allah. Sedar tidak sedar beberapa hari lagi kita bakal menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam, bulan yang penuh berkat, bulan pengampunan dan bulan untuk menuai pahala sebanyak-banyaknya. Semoga Allah panjangkan usia dan memberi kesempatan kepada kita untuk berada di bulan ramadhan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.


Ramadhan sebagai bulan mendidik diri. Didikan tidak bernilai tanpa adanya praktikal dalam kehidupan kita. Dalam bulan ini, kita dididik untuk berasa lapar, bukan untuk tujuan mendera tetapi mendidik diri agar sentiasa punya sikap sabar dalam mengawal nafsu. Sebelum ini juga, kita mungkin tidak biasa melakukan ibadah yang terlalu banyak namun dalam bulan ini manusia berlumba-lumba melakukan ibadah semata-mata inginkan syurga. Bukankah janji Allah membuka pintu syurga seluas-luasnya pada waktu ini?
Pepatah melayu, ala bisa tegal biasa ini perlu dihayati. Apabila kita sudah biasa melakukan sesuatu amal, amal ibadah itu akan sentiasa diteruskan pada bulan-bulan yang lainnya bukan tertakluk semasa bulan ramadhan sahaja. Maka didikan inilah yang menjadikan kita hamba, hamba yang sentiasa kenal pencipta dan sentiasa melakukan perintah dan jauhi laranganNya.

Imam Al-Ghazali pernah menyebut tiga tahap puasa seseorang, tahap pertama; puasa al-Umum iaitu menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tahap kedua; puasa al-Khusus iaitu menahan lidah, mata, telinga, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa dan tahap ketiga; puasa Khusus al-Khusus iaitu menahan hati kita daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sahaja, contohnya berfikir makanan pada waktu berbuka puasa nanti. Puasa kita berada di tahap yang mana? Jika masih pada tahap pertama bermakna kita perlu lebihkan mujahadah kita untuk sampai tahap yang paling tinggi.
Payah bukan? Tapi kelazatan beribadah memang datangnya dengan susah payah.

Apakah persiapan kita sebelum ramadhan?

Menjadi tabiat segelintir kita, persiapan dilakukan sebelum menyambut syawal iaitu dengan membeli baju dan perhiasan rumah baru dan sebagainya, namun jarang sekali kita memaknakan ramadhan dengan melakukan persiapan sebelum tibanya ramadhan. Persiapan mungkin boleh dilakukan dengan membiasakan diri dengan berpuasa sunat pada bulan rejab atau syaaban atau pada hari-hari sunat berpuasa, melakukan ulangkaji tentang puasa, kelebihan-kelebihan bulan ramadhan dan juga mengambil tahu amalan-amalan utama dan besar ganjarannya disisi Allah. Jangan jadi manusia yang hanya berpuasa tetapi tidak tahu menghayati erti puasa, kerana tanpa penghayatan inilah ramai dalam kalangan kita berpuasa pada zahir tetapi tidak pada batinnya.

Ke mana hilang acuan Ramadhan?

Ramadhan menjadi agen pembinaan akhlak. Sebagaimana ramadhan melahirkan insan hebat pada masa dahulu, tentera yang sanggup berjuang melawan panasnya mentari, penatnya berperang tatkala berpuasa, namun pengorbanan itulah yang melahirkan seorang hamba kepada Tuhan, insan berjiwa besar dan sentiasa berdisplin dalam hidup. Namun, hari ini kita tertanya-tanya, ke manakah sudah pemuda dan pemudi acuan ramadhan itu? Adakah kerana kita tidak pernah menghayati ramadhan sehingga genap sebulan kita berpuasa jiwa kita tetap kosong tanpa ada apa-apa rasa?

Bahkan, pada masa ini kita lebih banyak mendengar budaya-budaya negatif dan bersahaja. Pada hari ini, kita tidak dapat lari daripada sikap manusia yang tidak peduli akan keistimewaan ramadhan ini. Keistimewaan dirosakkan dengan adanya sikap-sikap seperti tidur dalam masa yang panjang. Mereka beranggapan tidur akan menghilangkan rasa lapar dan tidak kurang pula masjid-masjid yang penuh dengan manusia yang  bergelimpangan tanpa mempunyai apa-apa niat yang mendekatkan diri kepada Allah. Budaya hormat juga semakin pudar dalam diri masyarakat semasa ramadhan. Menghormati bulan puasa juga bermaksud menghormati orang yang berpuasa. Hal ini mungkin tidak menjadi kesalahan undang-undang apabila terdapat orang Islam yang makan di khalayak ramai tetapi ianya bersangkut paut dengan peribadi dan akhlak seseorang. Tambahan pula, ramainya kunjungan terawih di masjid-masjid pada awal ramadhan tetapi sedikti pada  akhirnya. Masing-masing sibuk melakukan persediaan syawal. Ramadhan juga tidak diraihkan dengan sebaiknya, lebih banyak masa melakukan perkara yang tidak berfaedah daipada amal yang membawa pahala.

Jadi, tepuk dada tanya iman kita, mampukah kita menjadi acuan ramadhan sebaiknya jika kita terus dengan sikap 'ambil ringan' itu?

Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengisi ramadhan yang bakal tiba ini dengan sebaik-baik amalan. Ukurlah sejauhmana tahap baiknya ramadhan kita pada tahun sebelumnya untuk kita melakukan perubahan pada kali ini agar ramadhan pada kali ini menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Kata pada hati "Ini mungkin Ramadhan Terakhir buat aku"

Dengan kesempatan ini juga, saya mewakili Persatuan Siswazah Sabah Cawangan Penaja Kota Belud memohon maaf andai ada tersilap kata dan perbuatan kepada semua. Berusahalah untuk mulakan ramadhan dengan sifar dosa dan akhiri dengan sebesar-besar pahala dan ganjaran daripadaNya. Moga sentiasa dalam redha Allah.

Wallahu'alam.

Sariah Binti Manung
Timb. Pengerusi, Persatuan Siswazah Sabah
Cawangan Penaja Kota Belud 14/15

Wednesday, January 15, 2014

Rasulullah : Kami Cinta Padamu

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kebenaran
Terukir namamu di dalam al-Quran...

Demikianlah bait-bait lagu yang sedikit sebanyak menceritakan tentang perjalanan kekasih agung kita Rasulullah SAW.Begitu banyak dugaan,cabaran, dan rintangan yang perlu dihadapi demi memastikan umatnya mendapat cahaya Islam yang menerangi manusia yang berada di dalam kegelapan.

Apa yang Rasulullah tak hadapi?

Tentangan dari kaumnya,pemulauan dari orang-orang Makkah,bagida dan para sahabatnya diancam bunuh,ada sahabat yang diseksa sehingga syahid,banyak lagi bentuk penyeksaan yang dikenakan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat semata-mata untuk menyebarkan agama Islam yang dicintai ini.
Sebagai seorang Muslim yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW,mari kita muhasabah.Bagaimana cinta kita kepada Rasulullah SAW?Penulis ingin mengajak pembaca sekalian merenung dua kisah cinta yang begitu mendalam kepada rasulullah SAW untuk kita beroleh iktibar.

1.Cintanya Bilal kepada Rasulullah.

Setelah Rasulullah SAW wafat,Bilal berpindh ke negeri Syam kerana tempaat itu pernah didoakan oleh Rasulullah SAW.Beliau berpindah ke sana kerana Madinah mengingatkannya setiap kenangan bersama dengan Rasulullah SAW.Pada suatu malam beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW lalu baginda bertanya kepada Bilal,”Wahai Bilal,apakah keasingan ini?Tidakkah engkau ingin menziarahi aku?”

Saidina Bilal terus bergegas ke Madinah.Sampai sahaja di Madinah,beliau terus menangis.Kemudian beliau terjumpa Saidina Abu Bakar,khalifah umat Islam ketika itu.Saidina Abu Bakar berkata kepada Bilal,”Wahai Bilal,laungkanlah azan sebagaimana yang engkau pernah lakukan ketika Rasulullah SAW masih hidup dahulu.” Bilal menjawab,”Wahai Amirul Mukminin,dahulu bila aku habis sahaja azan,aku akan lalu di depan pintu rumah Rasulullah dan aku akan berkata,solat ya Rasulullah.Maka sekarang bagaimana hendakku 
lakukan itu?” Jawapan yang sama juga diberikan ketika Saidina Umar memintanya melaungkan azan.

Kemudian datang Saidina Hasan dan Saidina Husain,cucu baginda Rasulullah SAW.Mereka berdua juga meminta agar Bilal melaungkan azan.Maka Bilal pun mengalah.Bilal pun naik ke tempat melaungkan azan.
Sebaik sahaja Bilal melaungkan azan,terkejut penduduk Madinah.Mereka menyangka Rasulullah telah diutuskan semula kerana suara azan itulah yang sering bergema ketika Rasulullah SAW masih hidup.Apabila sampai sahaja pada kalimah “Asy hadu anna Muhamadur Rasulullah”,Bilal menjadi lemah dan tidak mempu menyempurnakan azannya.Beliau menangis teresak-esak kerana teringatkan Rasulullah,sehingga esakannya itu didengari oleh penduduk Madinah,lantas beliau pun turun dari tempat melaungkan azan.

Kata para perawi hadis,Madinah tidak pernah begitu sayu selepas kewafatan Rasulullah SAW melainkan semasa Bilal melaungkan 'asy hadu anna muhammadur Rasulullah."

2.Cinta pohon kurma kepada Rasulullah SAW.

Dikisahkan dalam sebuah hadis yang mutawatir,diceritakan tentang kisah pohon kurma yang begitu tinggi cintanya kepada Rasulullah SAW.

Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW apabila menyampaikan khutbah,baginda akan berpaut pada pohon kurma yang telah mati.Namun apabila jumlah umat Islam semakin ramai,baginda mengambil mimbar sebagai tempat untuk menyampaikan khutbah.

Pada suatu hari,Rasulullah SAW menyampaikan khutbah di atas mimbar,bukan di tepi pohon kurma tersebut seperti sebelum ini.Sedang Rasulullah SAW menyampaikan khutbah,tiba-tiba terdengar tangisan seperti tangisan budak,semakin lama semakin meninggi hingga Rasulullah SAW tidak dapat menyampaikan khutbah.Para sahabat cuba mencari suara tersebut.Rupa-rupanya,suara tersebut datang dari pohon kurma tadi.Maka Rasulullah SAW pun mendekati pohon kurma tersebut lalu mengusapnya seperti seorang ibu yang mengusap anak kecilnya.Baginda Rasulullah SAW terus mengusap pohon kurm itu sehingga tangisan tadi hilang.

Rupa-rupanya,pohon kurma tadi menangis kerana dia telah berpisaah dengan Rasulullah SAW.Dahulu dia menjadi tempat Rasulullah SAW berpaut ketika menyampaikan khutbah.Kini,dia telah terpisah sebanyak lapan langkah dengan Rasulullah SAW kerana baginda menyampaikan khutbah di atas mimbar.

Begitulah dua kisah tadi.
Saidina Bilal menangis mengenangkan Rasulullah SAW ketika mengucap syahadah.
Pohon kurma yang mati menangis merindukan Rasulullah sekalipun hanya berpisah lapan langkah sahaja dari Rasulullah SAW.

Jom muhasabah diri.
Bagaimana pula cinta kita kepada Rasulullah SAW?
Apa perkara yang di sekeliling kita yang boleh mengingatkan kita kepada Rasulullah SAW?
Bagaimana kita membuktikan cinta kita kepada baginda Rasulullah SAW?
Ada cukup hanya sekadar di bibir?


Marilah kita bersama-sama menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘role model’ dalam kehidupan kita kerana baginda Rasulullah itu adalah contoh teladan yang terbaik sepanjang zaman.Dan jangan lupa,perbanyakkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW.Moga-moga kita tergolong di kalangan umat baginda yang mendapat syafaat di akhirat sana.Aameen…