Labels

Friday, August 30, 2013

Program Syabab Mumtaz 2013


           Pada 25 Ogos 2013, Persatuan Siswazah Kota Belud telah mengadakan program Syabab Mumtaz buat kesekian kalinya. Ia merupakan penjenamaan semula daripada program Kem  Remaja Cemerlangayang merupakan program tahunan bagi Persatuan Siswazah Sabah (PSS). Program sehari ini mensasarkan adik-adik yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun ini. Penyertaan dibuka kepada semua sekolah menengah sekitar Kota Belud dan seramai 86 orang pelajar telah terlibat dalam program Syabab Mumtaz pada tahun ini.




                   Bertemakan “Selangkah ke Mercu Kecemerlangan, kami mengharapkan peserta-peserta mendapat sedikit sebanyak teknik belajar dan tips-tips menghadapi peperiksaan melalui program ini. Pengisian telah disampaikan oleh Ustaz Nazmi Abd Ghani yang juga merupakan seorang guru. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Slot pertama yang disampaikan oleh penceramah bertajuk ‘7 Habits of Highly Effective Student’. Slot ini membincangkan ciri-ciri seorang murid yang efektif. Slot yang kedua pula bertajuk ‘Berjaya dengan menjadi kekasih Allah’. Sebagai seorang pelajar muslim, kejayaan yang kita kejar dalam lapangan akademik haruslah diiringi dengan redha Allah S.W.T. Pelajar Muslim yang Berjaya haruslah taat akan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah, dengan akhlak yang baik, InsyaAllah kejayaan dunia dan akhirat akan dapat dikecapi.








            Slot terakhir dalam program ini disampaikan sendiri oleh Sdr. Ahmad Fauzi bin Saifuddin yang merupakan penasihan PSS Kota Belud. Beliau menyampaikan slot ‘Universiti Pengalaman hidup’ di mana dalam slot ini, Sdr. Ahmad Fauzi berkongsi tentang pengalaman hidup beliau sebagai seorang pelajar di peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti. Banyak cabaran yang perlu dihadapi sepanjang bergelar pelajar, oleh itu setiap individu perlulah menyiapkan diri dengan persediaan mental dan fizikal apabila berhadapan dengan cabaran ini. Sebagai seorang pelajar Muslim juga, bekalan ilmu agama sangat perlu dititik beratkan sebagai perisai kita daripada sebarang pengaruh yang negatif di sekolah mahupun di kampus.









            Akhir kalam, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) cawangan Penaja Kota Belud mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang sudi hadir dalam program Syabab Mumtaz pada tahun ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Program Syabab Mumtaz 2013. Semoga amal ini mendapat ganjaran ibadah disisi Allah S.W.T.





Bengkel Pengurusan Organisasi (BPO) Special 2013

Kebatilan yang tersusun akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun (Saidina Ali)

Pada 13-14 Ogos 2013, satu bengkel pengurusan organisasi Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) telah diadakan di Dewan Masjid Pekan Kota Belud. Program dua hari ini telah dianjurkan oleh PSS Kota Belud untuk meningkatkan kemahiran pengurusan adik-adik Kelab remaja dalam beberapa aspek. Antara slot yang diberikan penekanan dalam bengkel ini ialah pengurusan mensyuarat, sistem fail dan surat-menyurat, pengurusan kewangan, teknik pengucapan awam dan protokol pengendalian majlis. . Seramai 15 orang ahli KRU yang terdiri daripada majlis tertinggi dan majlis exco telah menyertai bengkel selama 2 hari ini. Sebelum pengisian diberikan, taujihat telah disampaikan oleh Sdr. Ahmad Fauzi bin Saifuddin merangkap penasihat Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud. Beliau banyak memberikan motivasi kepada ahli-ahli KRU untuk sentiasa ikhlas dan bersemangat dalam meneruskan gerak kerja dakwah ini.



Slot pertama iaitu pengurusan mesyuarat telah disampaikan oleh Pengerusi PSS Kota Belud, Sdr. Iqbal Fikri bin Anafiah. Beliau banyak menyentuh tentang bagaimana untuk mengurus sesuatu mesyuarat dengan baik dan bagaimana memastikan mesyuarat yang dijalankan akan dapat mencapai satu keputusan yang dipersetujui bersama. Slot yang kedua pula disampaikan oleh Sdr. Azizi bin Osman berkenaan sistem fail dan surat-menyurat. Kemahiran ini sangat penting untuk dikuasai oleh semua ahli kerana setiap kali pengendalian sesuatu program, surat-menyurat adalah perkara asas yang perlu dilakukan oleh ahlijawatankuasa sebelum program dijalankan.

Slot pertama oleh Sdr. Iqbal Fikri

Sdr. Azizi menyampaikan slot pengurusan surat-menyurat

Slot seterusnya ialah pengurusan kewangan, pengisian telah diberikan oleh Sdri Dila binti Rebin meggantikan Sdri. Sariah Manung selaku Bendahari PSS Kota Belud. Pengurusan kewangan adalah satu pengurusan yang tidak kurang pentingnya dalam organisasi. Ia merupakan isu sensitif dan penyelewengan kewangan dalam sesebuah organisasi akan menyebabkan perpecahan dan ketidakpercayaan orang lain terhadap organiasi itu. Selepas menyampaikan teori, satu amali telah dijalankan dimana semua peserta diminta untuk merangka satu anggaran perbelanjaan bagi program Syabab Mumtaz 2013.

Slot pengurusan kewangan

Slot terakhir pada hari pertama ialah teknik pengucapan awam dan pentas anak muda. Slot ini telah disampaikan oleh Sdri. Zahariah Mastar. Ini merupakan julung kalinya slot pengucapan awam dimuatkan sebagai satu pengisian dalam bengkel pengurusan organisasi. Slot ini menekankan tentang bagaimana menghasilkan satu ucapan yang berkesan dan dapat difahami oleh pendengar. Penyampai juga memuatkan beberapa teknik untuk melatih diri sebelum berucap di hadapan khalayak dan  bagaimana untuk mengatasi masalah gemuruh dalam diri. Ahli-Ahli KRU seharusnya mempunyai kemahiran berucap yang baik kerana banyak program mahupun aktiviti yang menuntut mereka berkomunikasi dengan masyarakat amnya dan peserta program khususnya. Selesai penyampaian teori, satu pentas anak muda diadakan. Beberapa orang peserta dipilih secara rawak dan diminta untuk menyampaikan pidato pendek dihadapan secara spontan.


Pentas anak muda. Seorang daripada peserta sedang menyampaikan pidato

Slot yang terakhir telah disampaikan oleh Sdri Halimatuh Saadiah Abd Rashid berkaitan protokol pengendalian majlis. Walaupun ada dikalangan adik-adik KRU mempunyai pengalama yang banyak dalam mengendalikan protocol majlis, namun masih banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam memastikan perjalanan majlis rasmi yang dianjurkan oleh PSS dan KRU berjalan dengan lancar dan mengikut protokol yang sepatutnya. Selesai kesemua pengisian yang disampaikan, satu majlis penutupan telah diadakan bagi menyampaikan cenderahati kepada semua penceramah. 




Tinggilah harapan agar bengkel yang diadakan ini dapat memberikan sedikit sebanyak input kepada semua kepimpinan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Kota Belud ke arah menghasilkan gerak kerja yang progresif, prihatin dan professional di masa akan datang. 

Rumah Terbuka Aidilfitri PSS dan KRU Kota Belud 2013


17 Ogos 2013, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud meraihkan lebaran tahun ini dengan mengadakan rumah terbuka aifidlfitri 2013. Rumah terbuka Aidilfitri adalah acara tahunan yang diadakan oleh Persatuan Siswazah Sabah (PSS) untuk meraihkan aidilfitri dan merapatkan silaturrahim antara semua ahli khususnya dan masyarakat Kota Belud amnya. Sambutan kali ini diadakan dengan penuh sederhana mengingatkan musibah yang melanda saudara kita di Mesir.

Program dimulakan dengan ucapan yang disampaikan oleh Sdr. Iqbal Fikri bin Anfiah merangkap Pengerusi PSS Cawangan Penaja Kota Belud. Ucapan alu-aluan yang disampaikan banyak menyentuh tentang pentingnya ukhuwwah dalam memastikan semua gerak kerja yang dilakukan oleh PSS dan KRU berjalan lancar dan mendapat redha Allah S.W.T. Selain itu juga, Sdr. Iqbal juga sempat mengulas peristiwa berdarah di Mesir yang berlaku ketika ini. Ia bukanlah satu isu umat Islam di sana sahaja, namun ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu di ambil peduli oleh setiap individu. Sebagai saudara seakidah, kita haruslah sentiasa mendoakan mereka di sana dan memberi sokongan dan bantuan dari pelabagai sudut termasuklah bantuan kewangan bagi yang berkemampuan.




Sambutan pada kali ini turut dihadiri oleh Saudara Hasmadi Hasbi yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Pusat. Kami dari PSS Kota Belud mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau meluangkan masa untuk hadir bersama dalam majlis sambutan rumah terbuka aidilfitri pada tahun ini. Walaupun sambutan agak sederhana, namun kemeriahan tetap dapat dirasai oleh semua yang hadir. Apa yang diharapkan agar aidilfitri pada tahun ini dapat mengeratkan lagu ukhuwwah antara kita untuk sama-sama memantapkan lagi gerak kerja kita di masa akan datang. InsyaAllah. 





Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Kota Belud mengucapkan 
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin.

Thursday, August 8, 2013

Aidil Fitri yang Barokah

Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar wa lillaahil hamdu.

Takbir bergema memecah kesunyian pagi,tanda umat manusia seluruh dunia merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa di atas kesempatan yang telah diberikan untuk merayakan hari raya Aidil Fitri pada tahun ini.Setelah sebulan Allah berikan kepada kita untuk melatih diri melawan hawa nafsu,memantapkan ibadah fardhu dan sunat serta menjaga akhlak dan peribadi,maka dengan sifat Ar-Rahman yang ada pada Allah,kita diberi peluang untuk merayakan hari kemenangan ini.

Bulan Ramadhan yang berlalu semestinya meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri seorang hamba yang benar-benar menghayati 'hadiah' Ramadhan yang telah diberikan oleh Allah SWT.Sebulan Ramadhan digunakan semaksima mungkin bagi melatih diri untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan dekat kepadaNya.Ibadah fardhu diperhebat,ibadah sunat ditambah,tadarus Al-Quran diganda,malah qiyamullail dipanjangkan.Tidak hairanlah jika orang yang benar-benar menghayati Ramadhan akan terasa sedih dengan pemergian Ramadhan.

Kerana itulah Allah mengurniakan Syawal sebagai hadiah kepada semua umat Islam di atas segala mujahadah yang telah dilakukan di bulan Ramadhan.Hari umat Islam bergembira merayakan Aidil Fitri di samping keluarga tercinta.Semua ahli keluarga pulang ke desa bagi sama-sama merayakan Aidil Fitri yang mulia.Ditambah lagi dengan tradisi kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi,menambahkan lagi kemanisan Aidil Fitri.

Namun,di sebalik kegembiraan kita meraikan Syawal,terdapat beberapa perkara yang bertentangan dengan syariat yang mungkin kita terlepas pandang.Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sudah sebati dengan kehidupan pada hari raya sehingga kadang-kadang kita bersalaman dengan orang yang bukannya mahram kita.Akhlak sesama ajnabi tidak dipelihara sehingga kita terlupa batas-batas pergaulan yang telah Islam tetapkan.Bukan itu sahaja,pembaziran juga berlaku apabila terdapat tuan rumah yang menyediakan juadah yang terlalu banyak sehingga akhirnya dibuang di tong sampah sahaja.

Mari kita muhasabah.Inikah hasil didikan yang telah kita dapat selama sebulan yang baru sahaja berlalu?Di mana hendak kita letakkan martabat iman kita kalau kita melupakan terus tarbiyah yang pernah kita lalui di bulan Ramadhan?Oleh itu,marilah kita bersama-sama meraikan Aidil Fitri ini dengan penuh kesyukuran dan keimanan,bukannya dengan kemaksiatan dan kemurkaan Tuhan.

Berikut merupakan perkara-perkara yang dapat kita lakukan agar hari lebaran ini dirayakan dengan mengikut syariat Islam.Jaga akhlak ketika beraya dan berkunjung ke rumah saudara mara.Jaga batas-batas pergaulan sesama ajnabi.Amalkan sikap bersederhana ketika beraya,elakkan pembaziran dan kawal nafsu makan.Banyakkan mengingati Tuhan yang telah banyak memberi nikmat kepada kita.

Selain itu,jangan lupa untuk membuat penambahbaikan pada amalan kita.Mantapkan ibadah fardhu,perbanyakkan ibadah sunat serta perhebatkan qiyamullail.Jangan lupa untuk melakukan puasa sunat 6 hari kerana sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal,seolah-olah dia telah berpuasa setahun." (H.R Muslim)
Seandainya Ramadhan tu diandaikan sebagai satu madrasah,maka sebelas bulan akan datang merupakan waktu untuk kita memanfaatkan segala latihan yang kita lalui di bulan Ramadhan.

Sesungguhnya Syawal ini bukannya pesta makanan,akan tetapi ia adalah pesta kesyukuran yang sepatutnya membawa kita lebih dekat dengan Tuhan,bukannya melalaikan kita sehingga tenggelam dalam kemurkaan.Marilah kita sama-sama menjadikan Aidil Fitri kali ini sebagai wadah untuk kita mencari keredhaan dari Ilahi.Ketahuilah,Aidil Fitri yang barokah itu dapat dikecapi jika ia dapat mendekatkan kita kepada Yang Esa.

Akhiru kalam,kami dari pihak Persatuan Siswazah Sabah cawangan Kota Belud ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.