Labels

Monday, November 4, 2013

Salam Imtihan!

Tidak lama lagi peperiksan SPM dan STPM akan berlangsung di seluruh negara.Pastinya adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan ini berasa sangat gemuruh menanti hari itu tiba.Ada juga yang sudah berasa yakin untuk menghadapi peperiksaan kerana berasa cukup dengan persediaan yang telah mereka lakukan.Ramai yang menganggap peperiksaan ini seperti perjuangan antara hidup dan mati,kerana peperiksaan inilah yang akan menjadi penanda aras ke mana arah tuju mereka suatu hari nanti.

Walau bagaimanapun perasaan adik-adik semua,jangan pernah melupakan Allah dalam setiap perancangan kita.Mungkin kita sudah bersungguh dalam berusaha,namun keberhasilan usaha kita itu segalanya terletak pada ketentuan Allah.Walaupun kita berusaha bersungguh-sungguh,namun kejayaan itu telah Allah tentukan bukan milik kita,maka ia tidak akan berlaku.Letakkan Allah di hadapan dalam setiap tindak tanduk kita.Insya Allah hidup kita akan lebih diberkati dan kejayaan akan mengiringi.Ingatlah kalam cinta dari Allah dalam surah ali-'Imraan ayat 159 yang bermaksud:

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya,kenapa ada orang yang tak solat,tak tutup aurat,tak ikut perintah Allah,tapi boleh berjaya dalam peperiksaan.Malah dapat 'straight A' lagi.Yang solatnya tak tinggal,amalannya mantap,tidak juga mendapat kejayaan.Pasti pernah kadang-kadang terlintas di fikiran kan?

Pembaca yang disayangi sekalian,
Sebenarnya,kejayaan itu merupakan satu ujian buat kita.Ada orang yang berjaya,langsung terus melupakan Allah.Ada juga yang sebelum berjaya,memang tidak bergantung harap kepada Allah.Dan apabila berjaya,dia terus semakin jauh dari Allah.Kenapa hal ini berlaku?Kerana kejayaan itu tidak diredhai oleh Allah.Bahkan ada juga yang apabila berjaya,mereka berkata,"Lihatlah aku.Aku tak solat.Tak jaga aurat.Tapi boleh berjaya."Inilah yang dikatakan istidraj:nikmat yang Allah kurniakan kepada orang yang kufur,agar bertambah kekufuran mereka.Ada yang berjaya dalam hidup,punya karier yang bagus,punya wang dan harta kekayaan,namun jiwanya tidak tenang.Kerana dia tidak mendahulukan Allah dalam kehidupannya.Lantas dia tenggelam dalam ujian kesenangan.

Hakikatnya hidup ini adalah ujian.Allah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2:

"(ALLAH) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. ”

Peperiksaan yang bakal adik-adik hadapi juga merupakan satu ujian.Ujian yang menentukan adakah anda akan bergantung harap kepada Allah,ataupun melupakan Allah dan menumpukan terus kepada usaha.Ingat!Jika tidak ada redha Allah dalam hidup kita,maka jadilah kita insan yang terumbang-ambing.Ya,kita boleh saja berjaya,namun kejayaan itu menyebabkan kita semakin jauh dari Tuhan.Kita boleh saja punya harta yang banyak,namun harta itu akan menyebabkan kita tenggelam dalam kesenangan.Jika tiada iman,maka kita akan sanggup berbuat apa sahaja yang kita suka.

Oleh itu,bermula dari peperiksaan ini,latih diri untuk menjadi hamba Allah yang mengaku lemah di hadapanNya,bukan menjadi orang yang bongkak dan menyombong diri.Perbanyakkan doa dan solat sunat,hinakan diri di hadapan Allah dengan harapan doa kita akan diterima.Jika kelak doa kita itu tidak diterima,yakinlah bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.Yakinlah dengan janji Allah,

“ dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat 7)

Moga-moga adik-adik semua bakal mendapat kejayaan sebagaimana yang andaa inginkan.Dan jangan sekali lupa untuk menyerahkan segala pengharapan kita kepada Allah.

Akhiru kalam,selamat menghadapi peperiksaan SPM dan STPM dari kami,Persatuan Siswazah Sabah kawasan penaja Kota Belud.

Selamat berjuang!



Friday, August 30, 2013

Program Syabab Mumtaz 2013


           Pada 25 Ogos 2013, Persatuan Siswazah Kota Belud telah mengadakan program Syabab Mumtaz buat kesekian kalinya. Ia merupakan penjenamaan semula daripada program Kem  Remaja Cemerlangayang merupakan program tahunan bagi Persatuan Siswazah Sabah (PSS). Program sehari ini mensasarkan adik-adik yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun ini. Penyertaan dibuka kepada semua sekolah menengah sekitar Kota Belud dan seramai 86 orang pelajar telah terlibat dalam program Syabab Mumtaz pada tahun ini.




                   Bertemakan “Selangkah ke Mercu Kecemerlangan, kami mengharapkan peserta-peserta mendapat sedikit sebanyak teknik belajar dan tips-tips menghadapi peperiksaan melalui program ini. Pengisian telah disampaikan oleh Ustaz Nazmi Abd Ghani yang juga merupakan seorang guru. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Slot pertama yang disampaikan oleh penceramah bertajuk ‘7 Habits of Highly Effective Student’. Slot ini membincangkan ciri-ciri seorang murid yang efektif. Slot yang kedua pula bertajuk ‘Berjaya dengan menjadi kekasih Allah’. Sebagai seorang pelajar muslim, kejayaan yang kita kejar dalam lapangan akademik haruslah diiringi dengan redha Allah S.W.T. Pelajar Muslim yang Berjaya haruslah taat akan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah, dengan akhlak yang baik, InsyaAllah kejayaan dunia dan akhirat akan dapat dikecapi.








            Slot terakhir dalam program ini disampaikan sendiri oleh Sdr. Ahmad Fauzi bin Saifuddin yang merupakan penasihan PSS Kota Belud. Beliau menyampaikan slot ‘Universiti Pengalaman hidup’ di mana dalam slot ini, Sdr. Ahmad Fauzi berkongsi tentang pengalaman hidup beliau sebagai seorang pelajar di peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti. Banyak cabaran yang perlu dihadapi sepanjang bergelar pelajar, oleh itu setiap individu perlulah menyiapkan diri dengan persediaan mental dan fizikal apabila berhadapan dengan cabaran ini. Sebagai seorang pelajar Muslim juga, bekalan ilmu agama sangat perlu dititik beratkan sebagai perisai kita daripada sebarang pengaruh yang negatif di sekolah mahupun di kampus.









            Akhir kalam, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) cawangan Penaja Kota Belud mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang sudi hadir dalam program Syabab Mumtaz pada tahun ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Program Syabab Mumtaz 2013. Semoga amal ini mendapat ganjaran ibadah disisi Allah S.W.T.





Bengkel Pengurusan Organisasi (BPO) Special 2013

Kebatilan yang tersusun akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun (Saidina Ali)

Pada 13-14 Ogos 2013, satu bengkel pengurusan organisasi Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) telah diadakan di Dewan Masjid Pekan Kota Belud. Program dua hari ini telah dianjurkan oleh PSS Kota Belud untuk meningkatkan kemahiran pengurusan adik-adik Kelab remaja dalam beberapa aspek. Antara slot yang diberikan penekanan dalam bengkel ini ialah pengurusan mensyuarat, sistem fail dan surat-menyurat, pengurusan kewangan, teknik pengucapan awam dan protokol pengendalian majlis. . Seramai 15 orang ahli KRU yang terdiri daripada majlis tertinggi dan majlis exco telah menyertai bengkel selama 2 hari ini. Sebelum pengisian diberikan, taujihat telah disampaikan oleh Sdr. Ahmad Fauzi bin Saifuddin merangkap penasihat Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud. Beliau banyak memberikan motivasi kepada ahli-ahli KRU untuk sentiasa ikhlas dan bersemangat dalam meneruskan gerak kerja dakwah ini.



Slot pertama iaitu pengurusan mesyuarat telah disampaikan oleh Pengerusi PSS Kota Belud, Sdr. Iqbal Fikri bin Anafiah. Beliau banyak menyentuh tentang bagaimana untuk mengurus sesuatu mesyuarat dengan baik dan bagaimana memastikan mesyuarat yang dijalankan akan dapat mencapai satu keputusan yang dipersetujui bersama. Slot yang kedua pula disampaikan oleh Sdr. Azizi bin Osman berkenaan sistem fail dan surat-menyurat. Kemahiran ini sangat penting untuk dikuasai oleh semua ahli kerana setiap kali pengendalian sesuatu program, surat-menyurat adalah perkara asas yang perlu dilakukan oleh ahlijawatankuasa sebelum program dijalankan.

Slot pertama oleh Sdr. Iqbal Fikri

Sdr. Azizi menyampaikan slot pengurusan surat-menyurat

Slot seterusnya ialah pengurusan kewangan, pengisian telah diberikan oleh Sdri Dila binti Rebin meggantikan Sdri. Sariah Manung selaku Bendahari PSS Kota Belud. Pengurusan kewangan adalah satu pengurusan yang tidak kurang pentingnya dalam organisasi. Ia merupakan isu sensitif dan penyelewengan kewangan dalam sesebuah organisasi akan menyebabkan perpecahan dan ketidakpercayaan orang lain terhadap organiasi itu. Selepas menyampaikan teori, satu amali telah dijalankan dimana semua peserta diminta untuk merangka satu anggaran perbelanjaan bagi program Syabab Mumtaz 2013.

Slot pengurusan kewangan

Slot terakhir pada hari pertama ialah teknik pengucapan awam dan pentas anak muda. Slot ini telah disampaikan oleh Sdri. Zahariah Mastar. Ini merupakan julung kalinya slot pengucapan awam dimuatkan sebagai satu pengisian dalam bengkel pengurusan organisasi. Slot ini menekankan tentang bagaimana menghasilkan satu ucapan yang berkesan dan dapat difahami oleh pendengar. Penyampai juga memuatkan beberapa teknik untuk melatih diri sebelum berucap di hadapan khalayak dan  bagaimana untuk mengatasi masalah gemuruh dalam diri. Ahli-Ahli KRU seharusnya mempunyai kemahiran berucap yang baik kerana banyak program mahupun aktiviti yang menuntut mereka berkomunikasi dengan masyarakat amnya dan peserta program khususnya. Selesai penyampaian teori, satu pentas anak muda diadakan. Beberapa orang peserta dipilih secara rawak dan diminta untuk menyampaikan pidato pendek dihadapan secara spontan.


Pentas anak muda. Seorang daripada peserta sedang menyampaikan pidato

Slot yang terakhir telah disampaikan oleh Sdri Halimatuh Saadiah Abd Rashid berkaitan protokol pengendalian majlis. Walaupun ada dikalangan adik-adik KRU mempunyai pengalama yang banyak dalam mengendalikan protocol majlis, namun masih banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam memastikan perjalanan majlis rasmi yang dianjurkan oleh PSS dan KRU berjalan dengan lancar dan mengikut protokol yang sepatutnya. Selesai kesemua pengisian yang disampaikan, satu majlis penutupan telah diadakan bagi menyampaikan cenderahati kepada semua penceramah. 




Tinggilah harapan agar bengkel yang diadakan ini dapat memberikan sedikit sebanyak input kepada semua kepimpinan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Kota Belud ke arah menghasilkan gerak kerja yang progresif, prihatin dan professional di masa akan datang. 

Rumah Terbuka Aidilfitri PSS dan KRU Kota Belud 2013


17 Ogos 2013, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud meraihkan lebaran tahun ini dengan mengadakan rumah terbuka aifidlfitri 2013. Rumah terbuka Aidilfitri adalah acara tahunan yang diadakan oleh Persatuan Siswazah Sabah (PSS) untuk meraihkan aidilfitri dan merapatkan silaturrahim antara semua ahli khususnya dan masyarakat Kota Belud amnya. Sambutan kali ini diadakan dengan penuh sederhana mengingatkan musibah yang melanda saudara kita di Mesir.

Program dimulakan dengan ucapan yang disampaikan oleh Sdr. Iqbal Fikri bin Anfiah merangkap Pengerusi PSS Cawangan Penaja Kota Belud. Ucapan alu-aluan yang disampaikan banyak menyentuh tentang pentingnya ukhuwwah dalam memastikan semua gerak kerja yang dilakukan oleh PSS dan KRU berjalan lancar dan mendapat redha Allah S.W.T. Selain itu juga, Sdr. Iqbal juga sempat mengulas peristiwa berdarah di Mesir yang berlaku ketika ini. Ia bukanlah satu isu umat Islam di sana sahaja, namun ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu di ambil peduli oleh setiap individu. Sebagai saudara seakidah, kita haruslah sentiasa mendoakan mereka di sana dan memberi sokongan dan bantuan dari pelabagai sudut termasuklah bantuan kewangan bagi yang berkemampuan.




Sambutan pada kali ini turut dihadiri oleh Saudara Hasmadi Hasbi yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Pusat. Kami dari PSS Kota Belud mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau meluangkan masa untuk hadir bersama dalam majlis sambutan rumah terbuka aidilfitri pada tahun ini. Walaupun sambutan agak sederhana, namun kemeriahan tetap dapat dirasai oleh semua yang hadir. Apa yang diharapkan agar aidilfitri pada tahun ini dapat mengeratkan lagu ukhuwwah antara kita untuk sama-sama memantapkan lagi gerak kerja kita di masa akan datang. InsyaAllah. 





Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Kota Belud mengucapkan 
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin.