Mohd Dzul Khairi Mohd Noor
Presiden Gamis
Gerakan dakwah kampus kian rancak. Saya kira, antara fenomena yang menarik pada masa sekarang ialah wujudnya kesedaran berdakwah yang tinggi di kalangan gerakan mahasiswa, bukan lagi berpolitik semata-mata.
Sesebuah pola gerakan itu mengikut kepada situasi dan pelakonnya. Ada kala, mahasiswa terikut-ikut dengan suasana. Ada kala yang lain, mahasiswa yang membentuk suasana. Pada perkiraan yang telus, suasana kebejatan ummah dari sudut pemikiran dan budaya hidup pada masa sekarang memaksa gerakan mahasiswa merangka satu gerakan dalam bentuk yang lain dan pastinya ia lebih berkisar kepada pola dakwah itu sendiri.
Hedonisme dan cabarannya kepada para pendakwah
Beberapa kampus yang terkena tempias hedonisme terpaksa bertindak merangka strategi baru. Dalam muktamar Gamis yang diadakan, seorang perwakilan yang hadir bangun memberikan cadangan supaya diwujudkan satu force baru untuk lebih memerhatikan kepada gerakan dakwah. Ia beralasan, suasana sekarang terlalu bejat, maka satu perubahan dalam gerakan mesti diwujudkan.
Cadangan itu meskipun ditolak, namun ia membawa satu mesej yang jelas, bahawa sudah ada golongan yang cuba menghidupkan semula nafas dan semangat dakwah di kalangan gerakan mahasiswa.
Sebagaimana pernah saya nyatakan dalam siri penulisan saya sebelum ini, mahasiswa masa sekarang sudah tidak bermaya untuk hidup dalam dunia akademik, malah hampir semua pada pandangan umum tidak mempedulikan dan cakna terhadap perkembangan tanah air dan semasa. Mereka lebih memilih kehidupan mereka sendiri yang sarat dengan sajian hiburan dan kesenangan yang kadang-kadang agak malah sangat melampau.
Maka gerakan dakwah yang berteraskan kebajikan diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitikberatkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan nadwah-nadwah, turun ke surau dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang mengambil berat terhadap mereka.
Di sebuah kampus yang saya rahsiakan identitinya, satu force luaran ditubuhkan dan diberi nama Dakwah Service (D’Vice). D’Vice bertujuan untuk menyampaikan dakwah melalui saluran kebajikan. Maka, diadakan kelas-kelas fardhu ‘ain, perkhidmatan membaiki motosikal, komputer, kaunseling, dan sebagainya. Secara umum menyahut baik perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan dan memberikan respon yang memberangsangkan.
Tujuannya, supaya orang nampak bahawa Islam sangat menitikberatkan isu kebajikan. Di Turkey sebagai contoh, gerakan Islam yang bersifat statik juga mengambil pendekatan menjaga kebajikan sehingga berjaya menarik sokongan ramai dan memalingkan umum kepda kehidupan Islam setelah lama bergelumang dengan sekulaisme. Begitu juga gerakan-gerakan Islam di tempat lain yang mengambil langkah menjaga kebajikan.
Adat orang tidak mahu diajak terus menjejakkan diri dalam dunia Islamik tanpa mengetahui apakah kebaikan dan keuntungan yang bakal diperolehi. Maka tidak seharusnya kita hanya menawarkan pahala dan syurga yang tidak nampak. Sesuatu yang nampak di hadapan mata dan bersifat segera mesti disediakan dalam proses menarik hati orang. Gerakan juga mestilah bersifat menyediakan apa yang umum inginkan, bukan menyediakan apa yang gerakan mahukan.
Kadang-kadang, sesebuah gerakan mendabik dada apabila melihat ramai sekali penyokongnya dengan tidak mengambil kira ramai yang sebaliknya. Gerakan tersebut menyediakan pelbagai kemudahan yang mana semuanya berdasarkan pandangan mereka tanpa dilakukan satu kajian, apakah yang diinginkan oleh umum.
Sistem pemasaran mesti diperkayakan. Pendakwah mesti kaya dengan strategi dan perancangan. Idea yang kreatif dan kritis mesti diterbitkan daripada akar minda yang bersih. Pendakwah tidak boleh lagi melihat sesuatu yang memberikan keuntungan sementara meskipun ia mempamerkan keizzahan dan kemuliaan Islam sebaliknya gerakan mesti mengambil kira perancangan jangka panjang yang bernafas tidak putus.
Tidak mengapa jika gerakan tidak nampak keizzahannya, asalkan ia memberikan kesan yang padu dan jitu di saat akhirnya. Pujangga menyebut: Orang yang tertawa akhir, tertawa menang. Ia mesti kembali melihat asas dakwah nabi SAW yang melalui keperitan namun kemudiannya melakukan resurgensi yang mengejutkan. Ulama menyebut: Antara tanda kejayaan di saat akhir ialah sentiasa merujuk kepada Allah SWT pada permulaan lagi.
Namun D’Vice menghadapi satu masalah paling meruncing. Meskipun perancangannya bagus, namun ia masih lagi merangkak-rangkak sampai sekarang. Pendakwah nampaknya kaya dengan strategi tetapi agak lembap menggerakkannya. Ia menawarkan perkhidmatan yang pelbagai, namun siapa yang bakal memberikan perkhidmatan tersebut?
Saya tertawa seorang diri. Pernah dalam satu mesyuarat dengan satu pertubuhan membincangkan operasi dakwah untuk malam merdeka, Saya di peringkat mahasiswa Islam tegas meminta supaya satu perbincangan serius diadakan bagi membincangkan strategi bertindak yang paling efektif untuk dilaksanakan. Saya tegaskan berkali-kali, bahawa operasi dakwah malam merdeka hanya tinggal nama sahaja jika perancangan tidak efisien dan efektif.
Rasanya, sebulan saya mengungkapkan hal ini, namun akhirnya saya diminta untuk melakukan gerak kerja pada 30 Ogos, sedangkan malamnya akan berlangsung satu pesta maksiat bear-besaran. Bagaimana boleh saya melakukan gerak kerja dan mobilisasi tenaga semua ahli kampus sedangkan masing-masing ada komitmen tersendiri yang banyak sebagai pelajar dalam masa setengah hari?
Akhirnya, hanya diadakan edaran risalah yang hanya memberikan sedikit manfaat.
Saya tidak bertujuan mengkritik, namun setelah saya melalui ‘saat’ dakwah yang melucukan itu, saya terfikirkan dua perkara. 1) Tidak perlu semua turun ke Malam Merdeka kerana ia membuatkan suasana yang serabut akan berlaku. Ramai yang mengeluh kerana hanya terpaksa ikut dari belakang dan melihat edaran risalah dilakukan. Ada pula pertubuhan dakwah mengambil pendekatan mengumpulkan semua yang ditangkap dan diberikan satu ceramah percuma sedangkan bukan itu yang mereka kehendaki. 2) Dakwah perlu dirancang, bukan hanya dengan semangat.
Ya, anak-anak muda tidak perlukan ceramah. Ia bukan sahaja membuatkan mereka terasa bosan, malah sangat menyampah. Kemudian dipanggil pula ibu bapa mereka untuk mendedahkan keburukan yang mereka lakukan. Budaya Couple yang melanda jiwa Anak Muda Islam
Allahu Akbar, saya mengetuk kepala saya berkali-kali. Siapa suka keburukan didedahkan. Secara psikologi, ia hanya menimbulkan dendam dan keperitan. Orang akan fobia dan jatuh benci dengan gerakan dakwah jika begini. Kenapa kita tidak boleh mencontohi pemuda-pemuda Jamaah Islam Malaysia (Jim) yang mengambil pendekatan beramah mesra dan berbincang. Meskipun kautan mad’u mereka rendah, namun ia memberikan implikasi yang sangat baik.
Masa sekarang, banyak modul yang diperkenalkan. Dunia sudah lama berubah. Dunia sudah melalui tiga revolusi iaitu revolusi perindustrian, maklumat dan ilmu pengetahuan sedangkan dakwah masih berada di takuk lama. Perbincangan usrah masih lagi membincangkan soal 20 rukun kefahaman Ikhwan tanpa mengambil kira kerelevanannya. Saya tidak pernah mengkritik Al-Banna malah mendokongnya, namun mengapa kita masih lagi ingin mengambil pendekatan 60 tahun yang lampau, malah pendekatan itu di buat di Mesir! Kenapa tidak dibincangkan secara serius pandangan-pandangan tokoh semasa dan mengambil kira pandangan pengkritik gerakan Islam?
Agak pedas saya kira, mungkin ramai yang tidak senang, namun cuba nilaikan satu perkara: Apakah strategi dakwah yang kita jalankan sekarang digemari ramai? Fikir-fikirkan, renung-renungkan…tepuk dada, tanyalah iman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment