Labels

Wednesday, April 18, 2012

"Ombak Rindu" di Qiamullail ke-2 2012 KRUKB

                  Pada 16-17 Mac 2012 yang lalu, sekali lagi KRUKB berpeluang mengadakan program Qiamullail yang kedua bagi tahun ini. Lokasi Qiam pada kali ini sama seperti  qiam-qiam lepas yang bertempat di Masjid Pekan Kota Belud. Seramai 57 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Kota Belud menghadirkan diri sebagai peserta manakala seramai 20 orang AJK yang terdiri daripada ahli-ahli KRU terlibat dalam menjayakan program Qiam pada kali ini.
          
            Tema yang dibawa pada kali ini ialah “Ombak Rindu” memandangkan filem Ombak Rindu yang baru sahaja ditayangkan mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat khususnya golongan remaja. Ahlijawatankuasa mengambil inesiatif untuk menggunakan tajuk ini dengan harapan program pada kali ini mendapat sentuhan baru dan mendapat tarikan dalam kalangan remaja di Kota Belud khususnya. Penekanan diberi kepada keutamaan rindu kita sebagai umat kepada Rasulullah S.A.W  dan bagaimana cara kita menyalurkan perasaan cinta dan rindu pada jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T.
          
          Kuliah Maghrib bertajuk “Cinta Rasulullah” yang disampaikan oleh Sdr. Hazwan Hassan telah menyentuh bagaimana pengorbanan Rasulullah dalam menegakkan Islam dan hingga ke saat-saat akhir kehidupan Rasulullah, baginda masih ingat dan risau tentang keadaan umatnya pada hari ini. Pengisian dalam kuliah maghrib diharap dapat memberi kesedaran lagi kepada para peserta bahawa cinta kita kepada Rasulullah adalah yang utama selepas cinta kepada Allah S.W.T yang menciptakan kita.
           
         Program diteruskan lagi dengan forum yang bertajuk “Ada apa dengan CINTA?” yang menampilkan tiga orang panel berpengalaman iaitu Saudari Siti Nadzirah Butai, Sdr. Ahmad Fauzi Bin Saifuddin dan Sdr. Sahibul Bin Manung. Forum yang dikemudikan oleh Sdr. Sarif Bin Sattar telah membawa para peserta yang hadir untuk lebih mengetahui tentang pendefinisian cinta yang sebenar, bagaimana untuk mengurus fitrah cinta kita sebagai manusia dan besarnya cabaran sebagai seorang remaja apabila berhadapan dengan bab cinta. Pembawaan ahli-ahli panel yang begitu santai berjaya menyentuh hati para peserta, pelbagai bentuk soalan diajukan kepada ahli panel menunjukkan bahawa remaja pada hari ini berhadapan dengan konflik berkenaan cinta dalam kehidupan mereka. Alhamdulillah, para penel berjaya merungkai satu persatu persoalan tersebut dan diharap apa yang disampaikan dapat membibitkan rasa kesedaran dalam hati-hati kecil para remaja yang hadir tentang “Ada apa dengan CINTA?”.
            

Muslimat menunjukkan kehebatan dalam seni mempertahankan diri

Barisan muslimin yang sanggup berjuang untuk Islam

Sdr. Azizi begitu tekun menyantuni adik2 usrah

Usrah Muslimat

            Secara keseluruhannya, semua objektif program dapat disampaikan mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan diharap para peserta dapat menggarap banyak ilmu daripada program 2 hari 1 malam ini.  Sekalung penghargaan buat para penceramah jemputan, panel-panel, ahlijawatankuasa Program Qiamulail kali ke-2 KRUKB, Ahli-ahli PSS dan KRU Kota Belud, seterusnya semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program ini. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati Allah dan mampu melahirkan hati-hati yang sentiasa dekat cintanya dengan Islam. InsyaAllah.


0 comments:

Post a Comment