Labels

Sunday, July 12, 2009

Viva La HAMAS

Maszlee Malik

Khalil al-Syaqaqi di dalam satu kajian yang telah dijalankannya ke atas sokongan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza kepada HAMAS dari tahun 2000 sehingga tahun 2003 telah menunjukkan peningkatan drastik sokongan yang telah diterima oleh gerakan tersebut. Beliau telah meletakkan angka peningkatan dari 17% sebelum terletusnya Intifadah 2000 kepada angka 35% pada tahun 2003. Kajian dan angka yang hampir serupa telah diberikan oleh beberapa penganalisis isu Palestin yang lain. Sehingga artikel ini ditulis tiada satu kajian pun yang dilakukan oleh mereka-mereka -yang kononnya neutral terhadap isu Palestin- dari barat menunjukkan sokongan rakyat terhadap HAMAS melebihi angka 35%. Tiada juga kajian yang dijalankan terhadap sokongan pelarian-pelarian Palestin di luar Gaza dan Tebing Barat (seumpama di Jordan, Syria dan Lubnan) terhadap HAMAS. Mengapa?



Yang pasti keputusan pilihanraya majlis perbandaran (baladiyyat) yang berlaku semenjak pertengahan Disember yang lalu dan akan berakhir pada bulan Ogos nanti akan menunjukkan natijah yang berbeza. Apa yang berlaku di Tebing Barat sebagai contoh, ianya memang terkenal sebagai kubu kuat gerakan Fatah, dan pilihanraya yang diadakan adalah yang paling unik di dunia (kerana mengambil masa setahun) pada hakikatnya telah dirancangkan untuk kemenangan Fatah. Apa yang telah berlaku?, dunia telah menyaksikan HAMAS berjaya memenangi lebih separuh daerah mengundi daripada 26 daerah yang diadakan pengundian tersebut. Lebih menarik lagi, HAMAS memenanginya dengan suara majoriti yang banyak di kawasan yang taburan penduduknya tinggi, berbanding dengan Fatah yang banyak memenangi kerusi di tempat-tempat yang bilangan pengundinya teramat sedikit (dan tidak menyapu bersih kerusi-kerusi yang dipertandingkan pun di tempat-tempat yang mereka menangi). Kemenangan HAMAS itu benar-benar di luar jangkaan semua pihak, termasuk HAMAS sendiri.



Keputusan yang lebih memeranjatkan berlaku di Gaza pada pilihanraya baladiyyat pusingan pertama yang berakhir pada 27 Januari 2005 yang lalu. Daripada 9 daerah mengundi yang dijalankan pilihanraya tersebut, 7 buah telah dikuasai HAMAS dengan kemenangan yang besar dan dengan bilangan kerusi yang majoriti, hatta di tempat yang kononnya dijangkakan HAMAS akan menerima kekalahan yang teruk. Keseluruhan kerusi yang dimenangi oleh HAMAS dariapada 118 kerusi yang dipertandingkan adalah 77 buah kerusi. Ini menunjukkan bahawa dari keseluruhan 196,628 pengundi, HAMAS telah memenangi 65.25% daripada undian mereka.



Lebih menarik lagi ianya adalah di kubu-kubu kuat Fatah dan juga di tempat-tempat yang HAMAS sendiri tidak merasakan mereka akan menang besar seperti Bayt Hanun, Der Balah, Zuwaydah dan lain-lain lagi. Jikalau mereka menang di Khan Yunus, Refah ataupun bandar Gaza sendiri, itu mungkin tidak menghairankan, tetapi kemenangan mereka adalah di tempat-tempat yang dijangkakan tidak akan memberikan walau satu kerusi pun kepada mereka!



HAMAS masih relevan

Apakah isyarat yang ingin diberikan oleh rakyat Palestin dengan memberikan undi mereka kepada HAMAS?, tidakkah mereka merasakan kesengsaraan yang mereka hadapi pada hari-hari ini adalah disebabkan oleh operasi-operasi ketenteraan HAMAS, seperti yang sering dicanangkan oleh media-media pro-barat dan pro-Fatah?, tidakkah mereka ingin mencuba jalan perdamaian pula?, bukankah dengan berdamai mereka akan berupaya untuk membangunkan semula Palestin dan juga memperolehi kekuatan?, tidakkah mereka serik melihat jalan perjuangan penentangan dan perjuangan bersenjata hanya akan menyebabkan kemusnahan dan juga kekalahan di pihak mereka?...ternyata itu semua persepsi penonton-penonton bongok lagi dibongokkan oleh media pro-Zionis dan konco-konconya. Ternyata rakyat Palestin lebih mengetahui apa yang mereka lakukan, seperti pepatah Arab ada mengatakan, Orang Mekah lebih mengetahui tentang keadaan Mekah .



Isyarat yang lebih jelas lagi ialah keengganan lebih 66% rakyat Palestin yang layak mengundi sewaktu pilihanraya pemilihan presiden PA (Palestinian Authority) untuk keluar mengundi. Walaupun tiada kempen dan tiada seruan dari HAMAS menggesa dan memaksa mahupun merayu rakyat untuk tidak keluar mengundi pada 9 Januari yang lalu, namun mereka semua bagaikan secara sukarela bersama menyokong tindakan HAMAS untuk tidak turut serta di dalam pilihanraya tersebut. Akhirnya, seperti yang dunia maklum, Mahmoud Abbas aka Abu Mazen berjaya menjadi presiden PA untuk 25% sahaja daripada rakyat Palestin yang layak mengundi. Tidakkah ini juga menunjukkan sokongan senyap (silence majority support) majoriti rakyat kepada HAMAS?



Bagi mereka yang rabun sejarah dan anti Jihad, hatta di kalangan orang Islam sendiri pun, sentiasa kedengaran di hujung-hujung bibir mereka tentang keperluan rakyat Palestin untuk meletakkan senjata. Mereka juga menghujahkan bahawa perjuangan bersenjata sudah tidak relevan, menemui jalan buntu dan juga tidak akan menjamin kemenangan. Rakyat Palestin perlu bina ekonomi, perlu pentingkan pendidikan, perlu maju di bidang ketenteraan dan juga ekonomi. Mereka juga serin mengatakan HAMAS tidak relevan dan rakyat tidak bersama HAMAS lagi. Bagi mereka-mereka ini, dinasihatkan agar tidak terlalu gopoh membuat analisis-analisis dungu, tetapi kembali membaca sejarah perjuangan rakyat Palestin semenjak kegagalan usaha damai Arafat pasca Oslo 1993. Mungkin kadang-kadang kita terpaksa akur kepada tindakan orang lain walaupun ianya tidak selari dengan nafsu kita. Rakyat Palestin menunjukkan kepada kita, perjuangan bersenjata masih relevan!



Mengapa HAMAS menjadi pilihan rakyat?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, minyak guna-guna apakah yang telah digunakan oleh HAMAS sehingga berjaya memikat hati rakyat Palestin. Adakah kerana pimpinan mereka terdiri daripada mereka yang kacak-kacak atau handsome-hansome belaka?



Tidak, itu semua tidak berlaku!, pemimpin-pemimpin mereka bukanlah orang yang kacak-kacak. Mereka hanya mempunyai Syeikh Ahmad Yassin (almarhum) yang lumpuh, Abdul Aziz Rantissi yang bermuka serius, Khaled Misy al yang beruban, dan yang lain-lain lagi yang tidak sekacak Salman Khan ataupun Tom Cruise. Mereka juga tidak menggunakan artis-artis Akedmi Fantasia untuk mendapatkan undi rakyat Palestin. Mereka juga bukanlah orang yang kaya-kaya setaraf dengan kekayaan Syed Mokhtar al-Bukhary ataupun Tan Sri Halim Saad mahupun Lim Goh Tong. Mereka juga tidak mempunyai masa untuk memaksa rakyat ataupun menggugut rakyat dengan ugutan tidak bersyukur jika tidak mengundi mereka, ataupun ugutan tidak dapat masuk syurga sesiapa yang tidak mengundi mereka ataupun sebarang ugutan-ugutan politik seperti yang biasa kedengaran di Malaysia.



Mereka hanyalah sekumpulan manusia yang beriman bahawa satu-satunya cara untuk memerdekakan negara Palestin yang dijajah, hanyalah dengan cara penentangan dalam pelbagai dimensi. Persenjataan, politik, ekonomi, pendidikan, akademik dan lain-lain wasilah lagi. Mereka juga tidak menjanjikan pembangunan dengan pembinaan menara berkembar, litar F1 dan apa-apa janji material kepada rakyat Palestin, yang mereka bawa hanyalah motto al-Taghyir wa al-Islah (Perubahan dan Refomasi). Akhirnya sebilangan besar rakyat bersetuju dengan mereka.



Sudah tentu untuk setuju pastinya mereka mempunyai track record yang cemerlang. Itulah kekuatan HAMAS, iaitu mereka dikenali sebagai orang-orang yang bersih dari korupsi dan juga sebagai makhluk-makhluk yang pedulikan nasib rakyat Palestin secara ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh. Baik dari segi kebajikan para pelarian, pendidikan, dan kesihatan, perkhidmatan HAMAS amat dihargai oleh rakyat Palestin. HAMAS juga mula menjadi pilihan selepas rakyat tidak tahan lagi melihat keganasan rejim Zionis dan sudah tidak percaya lagi kepada apa-apa janji perdamaian yang mereka laungkan. Cukuplah kenangan pahit Arafat ditipu dan dipermainkan oleh rejim Zionis dan juga AS, rakyat Palestin tidak mahu termasuk ke dalam lubang dhab sebanyak dua kali.



Rakyat Palestin juga dari satu sudut telah jemu melihat korupsi para pemimpin PA era Arafat yang kini muncul sebagai wira-wira Fatah seperti yang ditonjolkan oleh media-media pro-barat. Siapa tidak kenal Abbas?, siapa tidak kenal Ahmad Quray ?, siapa tdak kenal Muhammad Dahlan?, siapa tidak kenal Jibril Rjoub?, tatkala anak-anak Palestin kelaparan dan dilapah oleh peluru-peluru tentera rejim Zionis, pemuka-pemuka Fatah di bawah bendera PA telah bersenang lenang di dalam istana-istana, kereta-kereta mewah dan juga kekayaan yang tidak pernah dimimpikan oleh majoriti pelarian Palestin di kem-kem pelarian di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Jordan dan Syria.



Terbukti sudah kini, tahun 2005 menunjukkan petanda yang baik kepada HAMAS. Mungkin jika Lilian Too diminta untuk membaca Feng Shui HAMAS, beliau akan meramalkan masa depan yang lebih cerah bagi HAMAS di masa-masa depan. Walau bagaimanapun perkiraan dan perhitungan masa hadapan dalam isu Palestin ini tidak semudah yang kita sangkakan. Percaturan AS, rejim Zionis dan juga negara-negara Arab yang pro kepada AS dan negara haram Israel tidak boleh dipandang ringan. Dengan keadaan pilihanraya baladiyat yang mengambil masa lapan bulan (pada asalnya setahun) untuk berakhir dengan tiga pusingan (asalnya empat pusingan), kebersihan pilihanraya tersebut masih boleh diragukan.



Adakah pihak Fatah dan juga sekutu-sekutunya yang terdiri daripada AS, rejim Zionis dan negara-negara pro AS akan membiarkan sahaja?, tidak mungkin mereka ingin melihat HAMAS secara mudah memenangi sebahagian besar kerusi-kerusi tersebut dan akhirnya membuktikan kemampuan mereka untuk memerintah rakyat. Dalam persoalan ini, diharapkan agar HAMAS telah pun bersedia dengan pencak silat mereka untuk menghadapi masa-masa mendatang. Yang jelas, majoriti rakyat Palestin, secara de factonya memilih HAMAS sebagai pemimpin masa depan mereka, jika tidak dalam tempoh terdekat pun, mungkin dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

0 comments:

Post a Comment