Labels

Tuesday, June 12, 2012

Kursus Pengurusan Jenazah 2012


5 Jun 2012 (Selasa)
Bertempat di Masjid Pekan Kota Belud, telah diadakan Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Syukbah Remaja Masjid Pekan Kota Belud. Beberapa orang ahli PSS Kota Belud telah mendaftar sebagai peserta dalam kursus pengurusan jenazah pada kali ini. Seramai 68 orang peserta yang terdiri daripada remaja, belia dan orang dewasa di sekitar Kota Belud telah menghadirkan diri.

Menguruskan jenazah adalah merupakan perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Ianya merupakan fardhu kifayah ke atas umat islam. Dengan adanya sebahagian umat Islam yang mengetahuinya akan selesailah tanggungjawab tersebut. Namun dengan keadaan sekarang ini, kesedaran di kalangan generasi muda untuk melaksanakan tanggungjawab ini amat tipis sekali. Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada generasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Atas kesedaran itu, Syukbah Remaja Masjid Kota Belud telah mengadakan Kursus pengurusan jenazah untuk mendidik masyarakat tentang cara pengurusan jenazah yang betul terutamanya kepada generasi-generasi muda di kawasan ini. 


Slot ceramah yang pertama bertajuk "Menuju Kematian" telah disampaikan oleh Ustazah Surayah daripada JHEINS Kota Kinabalu

Ceramah Pengurusan Jenazah pula telah disampaikan oleh Us. Rosli Anjam wakil daripada JHEINS Cawangan Kota Belud. 


Tidak cukup dengan teori semata-mata, praktikal untuk cara pengurusan jenazah yang betul turut diketengahkan kepada semua peserta kursus. Ia bertujuan untuk menyediakan pengalaman secara langsung di samping menambah lagi kefahaman para peserta tentang pengetahuan pengurusan jenazah. 

Praktikal yang dilakukan oleh peserta muslimin

Beberapa orang peserta muslimat PSSKB tekun memerhatikan demonstrasi yang ditunjukkan oleh ustazah Suraya



Dengan adanya kursus ini adalah diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada peserta jika berlaku sesuatu kematian agar dapat membantu menguruskannya. Marilah kita memahami kehendak fardhu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama kita. InsyaAllah.




Sunday, June 10, 2012

Rehlah PSS&KRU Muslimat Kota Belud


31 Mei 2012 
            Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T. Muslimat KRU dan PSS Kota Belud dapat mengadakan Rehlah Kali ke-2 bagi tahun ini. Walaupun perancangan dilakukan pada saat-saat akhir, Alhamdulillah.. rehlah kali ini masih dapat dijalankan. Memandangkan sekarang merupakan musim cuti sekolah bagi adik-adik KRU . Kami mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama mereka agar ukhwah yang terjalin tidak pernah renggang walaupun dibatasi jarak dan komitmen yang banyak. 
            Lokasi pada kali ini tidak jauh dari tapak program KRIS yang baru sahaja melabuhkan tirai. Walaupun agak sukar mencari lokasi yang sesuai pada saat-saat akhir program bermula,  Sungai Kg. Tambulion juga akhirnya menjadi pilihan srikandi-srikandi Kota Belud. Seramai 19 orang muslimat telah menyertai rehlah kali ini. Aktiviti dimulakan selepas solat zohor disebabkan ada di kalangan adik-adik KRU yang terpaksa menghadiri kelas tambahan di sekolah.

Sebelum bergerak kerja(masak) 

Menyediakan makanan untuk dijamah sebentar lagi.. semua dalam mode lapar..

Merenung dan menghayati keindahan ciptaan Allah S.W.T..SubahanAllah

         Beberapa pengisian telah dirancang sepanjang program rehlah berlangsung, namun atas sebab-sebab yang tertentu seperti hujan kuat yang tiba-tiba membasahi bumi tambulion, beberapa aktiviti terpaksa dibatalkan.


Antara juadah yang disediakan


Solat di tepi Sungai Kampung Tambulion

Makan time.

Tepat jam 5.30 Petang, program rehlah sampai ke penghujungnya. Walaupun tidak semua yang perancangan tidak dapat berjalan seperti apa yang dirancang. Namun ada hikmah di setiap apa yang telah Allah tetapkan. Apa yang penting, misi rehlah pada kali ini iaitu mengeratkan lagi tautan ukhuwah dan silaturrahim di kalangan ahli muslimat KRU dan PSS, InsyaAllah dapat dicapai. Mohon maaf atas sebarang kekerangan dan kelemahan, dan apa yang baik datang dari perancangan Allah S.W.T.

~Ukhuwah itu bagai seutas tasbih, ada awal tiada penghujung.Dicipta untuk mengingatinNya, dibahagi untuk cintaNya, dan diratib untuk redhaNya~








Saturday, June 2, 2012

Usrah Muslimat PSS&KRU KB


Asslamulaikuam Wrahmatullah..
Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T cuti sekolah ini dapat diisi dengan satu lagi aktiviti usrah. Walaupun baru sahaja KRIS KB 2012 melabuhkan tirai, penat 3 hari 2 malam menjalankan program bukan alasan untuk tidak menjalankan usrah. Usrah merupakan diantara nadi penguat rohani untuk terus bergerak kerja. InsyaAllah. Usrah pada kali ini dijalankan di Masjid Pekan Kota Belud. Kehadiran agak memberangsangkan memandang cuti sekolah dan ada di kalangan sahabat-sahabat yang baru pulang dari semenanjung.
Seramai 10 orang KRU dan 4 orang PSS Muslimat hadir dalam usrah kali ini. Pengisian yang dikendalikan oleh Sdri. Dila Rebin menyentuh bab taqwa dan keseluruhan pengisian adalah menggunakan buku yang ditulis sendiri oleh Ustaz Muhammad Afif Yahya. Mungkin kita agak selalu mendengar soal taqwa, malah di sekolah sekalipun, taqwa kerapkali disebut oleh ustaz dan ustazah. Namun sejauh mana kita mendalami pendefinisian sebenar taqwa dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Berkata Imam Abud Abdillah ahmad bin Atha’ Al Rudzbari syekh Syam di zamannya..

TAKWA itu mempunyai dua tugas iaitu zahir dan batin. Tugas zahirnya ialah memelihara segala batasan-batasan syariat Allah. Tugas batinnya ialah niat yang baik dan ikhlas kerana Allah S.W.T (dalam segala amalannya). 




Firman Allah yang bermaksud :

 “Barangsiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3)

“Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa.”
 (Al Maidah: 27)


Syukran diucapkan kepada semua yang hadir. Semoga perkongsian kita yang sedikit mampu menyuburkan kembali hati-hati kita dan dapat membantu kita untuk mencapai matlamat menjadi orang yang bertaqwa. InsyaAllah..







Kem Remaja Islam (KRIS) Kali ke-5 Kota Belud


           
          Pada 25-27 Mei yang lepas sekali lagi Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud dengan kerjasama Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) Kota Belud mengadakan Kem Remaja Islam (KRIS) kali Ke-5. KRIS pada kali ini bertempat di SMK Tambulion Kota Belud dan seramai 138 pelajar telah mendaftar sebagai peserta. Peserta-peserta terdiri daripada pelajar di sekitar Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas. Penyertaan pada awalnya melebihi 150 orang, namun disebabkan kekangan yang tidak dapat dielak seperti perkhemahan UB di sekolah, hanya 138 orang peserta sahaja yang dapat menghadirkan diri.
            Program bermula selepas solat jumaat, semua peserta diminta berkumpul di Masjid Pekan Kota Belud sebelum di bawa ke tapak program. Ada juga dikalangan peserta yang dihantar sendiri oleh ibubapa ke tapak program. PSS mengucapkan ribuan terima kasih kerana sanggup ke sana walaupun agak jauh dari pekan. Selepas sesi pendaftaran peserta, taklimat diberikan oleh pengarah program berkenaan peraturan dan tentatif sepanjang program berjalan. Keseluruhan aktiviti dijalankan di dewan SMK. Tambulion.




            Kuliah dasar yang pertama pada program kali ini disampaikan oleh Iman Madli, dimana kuliah dasar ini berkisarkan tentang Aqidah. Penyamapaian yang penuh dengn semangat menyababkan adik-adik peserta lupa akan keletihan mereka. Penceramah menekankan tentang pengertian akidah, kepentingan akidah kepada seluruh individu muslim, ciri-ciri akidah,  cabaran-cabaran terhadap akidah kita pada masa kini. Keistimewaan akidah Islam dan perbezaannnya dengan ideologi manusia dan kesan akidah yang mantap.

            Selepas sesi kuliah yang disampaikan oleh penceramah, sesi taaruf antara peserta dan fasilitator diadakan. Taaruf kali ini agak berbeza dengan taaruf dalam program-program yang sebelum. “Tiru Gayaku” merupakan modul yang akan digunakan. Dalam modul ini, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Orang pertama di dalam kumpulan tersebut akan memperkenalkan diri disertai dengan gaya atau pergerakan yang tersendiri.  Gaya tersebut akan diikuti oleh orang yang berada di sebelah kanan. Semua ahli dalam kumpulan tersebut akan berpeluang menghafal nama dan gaya yang dipersembahkan oleh rakan mereka.


            26 Mei 2012- Merupakan hari kedua para peserta berada di tapak program. Alhamdulillah, semua peserta masih berada dalam keadaan sihat dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pada hari ini termasuklah LDK 1, Kuliah Dasar 2 (Ibadah) , LDK 2 (Lukisanku, Ibadahku), Kuliah dasar 3( Akhlak) , dan LDK 3 (Jum Main) . LDK 1 bertajuk “Bangunan Straw” berhubungkait dengan Kuliah dasar yang pertama iaitu “Akidah Tunjang Pembentukan Remaja Bertaqwa”, setiap kumpulan diminta membina sebuah bangunan menggunakan straw. Bangunan yang kukuah diumpamakan sebagai akidah yang mantap manakala bangunan yang tidak kukuh diibaratkan sebagai akidah seorang muslim yang goyah.

            Selepas solat zohor, Sdr Iqbal Fikri Anafiah menyampaikan sedikit slot khas berkenaan Al-Fateh. Kuliah Dasar yang kedua disampaikan oleh kak Jannah. Bab ibadah diberi tumpuan dalam penyampaian pada kali ini.Latihan Dalam Kumpulan berkenaaan dengan ibadah juga memberi kefahaman lagi kepada para peserta tentang ibadah di dalam Islam. Semasa sesi LDK ke-2, Para peserta diberikan sehelai kertas dan mereka diminta untuk melukis sebuah masjid. Selepas lukisan siap, fasilitator akan bertanya kepada setiap peserta adakah mereka membaca Bismillah sebelum mula melukis sebentar tadi. Melalaui aktiviti tadi, para peserta sedar akan setiap perkara yang kita lakukan hendaklah diniatkan kerana Allah S.W.T.
            Kuliah Dasar yang terakhir telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden 1 PSS Pusat iaitu Sdr. Ahmad Fauzi Saifuddin. Penerangan tentang bab akhlak banyak memberi ilmu baru kepada peserta KRIS tetapi juga kepada barisan Fasilitator dan AJK program. Selepas selesai kuliah dasar, LDK 3 yang bertajuk Jum Main! Dijalankan, dalam LDK yang terakhir ini, aktviti dilaksanakan seperi permainan bola beracun. Peserta yang memegang botol semasa muzik dihentikan akan dikenakan denda. Denda-denda yang disediakan dalam aktivti ini semuanya menghampiri gambaran kepada akhlak yang tidak baik ataupun akhlak mazmumah. Ibrahnya, apabila kita malu untuk melakukan perbuatan tersebut hatta dihadapan sahabat kita, Alhamdulillah, hati kita masih tahu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk.

            Slot yang terakhir pada malam itu ialah slot penghayatan. Tema khas uang dibawa ialah tentang “kematian”. Menyedari tentang hidup kita hanya sementara dan pentingnya dalam diri kita sebagai seorang muslim agar sentiasa mengingati mati, para AJK memasukkan pengisian ini dalam sebagai slot penghayatan pada malam itu. Pada awalnya, para peserta diberi masa untuk melihat video tentang alam kematian, dan video siksaan di alam kubur. Selepas beberapa minit, lampu dimatikan , dan beberapa orang peserta yang berlakon sebagai sekujur tubuh yang telah mati diangkat di tengah-tengah peserta yang sedang menutup mata. Selepas peserta membuka mata, pengisian pun diberi oleh MC yang bertugas tentang singkatnya hidup kita di muka bumi ini. Tangisan para peserta kian kedengaran, dan diharap tangisan adik-adik peserta mampu membasahi hati-hati kita agar sentiasa tidak lupa untuk mengingati mati.

            Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program. Aktivti terakhir ialah Explorace. Semua kumpulan bersemangat untuk menjalankan aktiviti ini kerana penilaian untuk kumpulan terbaik juga akan dijalankan. Dalam aktivti explorace, setiap stesen telah disediakan dengan pelbagai soalan yang merangkumi kuliah-kuliah dasar yang telah mereka hadam sebelum ini. Alhamdulillah, adik-adik peserta mampun menjawab soalan yang diajukan dengan baik. Moga-moga mereka faham apa yang telah disampaikan dalam setiap kuliah dasar dalam program ini.



            Selepas selesai solat zohor berjemaah, program Kem Remaja Islam telah sampai ke penamatnya. Sayu rasa berpisah dengan adik-adik yang telah berkampung selama 3 hari dua malam di SMK. Tambulion. Terima kasih diucapkan kepada Sdr. Zul Hilmey Makmud selaku Presiden PSS Pusat yang sudi meluangkan masa untuk merasmikan Kem Remaja Islam (KRIS) Kota Belud, tidak lupa juga kepada semua fasilitator, dan AJK yang terlibat dalam menjayakan Program KRIS Kota Belud pada tahun ini. Semoga semua titik peluh dan usaha kalian untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini mendapat rahmat disisi Allah S.W.T.


Sdr. Zul Hilmey menyampaikan hadiah kepada peserta