Labels

Saturday, June 2, 2012

Kem Remaja Islam (KRIS) Kali ke-5 Kota Belud


           
          Pada 25-27 Mei yang lepas sekali lagi Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kota Belud dengan kerjasama Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) Kota Belud mengadakan Kem Remaja Islam (KRIS) kali Ke-5. KRIS pada kali ini bertempat di SMK Tambulion Kota Belud dan seramai 138 pelajar telah mendaftar sebagai peserta. Peserta-peserta terdiri daripada pelajar di sekitar Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas. Penyertaan pada awalnya melebihi 150 orang, namun disebabkan kekangan yang tidak dapat dielak seperti perkhemahan UB di sekolah, hanya 138 orang peserta sahaja yang dapat menghadirkan diri.
            Program bermula selepas solat jumaat, semua peserta diminta berkumpul di Masjid Pekan Kota Belud sebelum di bawa ke tapak program. Ada juga dikalangan peserta yang dihantar sendiri oleh ibubapa ke tapak program. PSS mengucapkan ribuan terima kasih kerana sanggup ke sana walaupun agak jauh dari pekan. Selepas sesi pendaftaran peserta, taklimat diberikan oleh pengarah program berkenaan peraturan dan tentatif sepanjang program berjalan. Keseluruhan aktiviti dijalankan di dewan SMK. Tambulion.




            Kuliah dasar yang pertama pada program kali ini disampaikan oleh Iman Madli, dimana kuliah dasar ini berkisarkan tentang Aqidah. Penyamapaian yang penuh dengn semangat menyababkan adik-adik peserta lupa akan keletihan mereka. Penceramah menekankan tentang pengertian akidah, kepentingan akidah kepada seluruh individu muslim, ciri-ciri akidah,  cabaran-cabaran terhadap akidah kita pada masa kini. Keistimewaan akidah Islam dan perbezaannnya dengan ideologi manusia dan kesan akidah yang mantap.

            Selepas sesi kuliah yang disampaikan oleh penceramah, sesi taaruf antara peserta dan fasilitator diadakan. Taaruf kali ini agak berbeza dengan taaruf dalam program-program yang sebelum. “Tiru Gayaku” merupakan modul yang akan digunakan. Dalam modul ini, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Orang pertama di dalam kumpulan tersebut akan memperkenalkan diri disertai dengan gaya atau pergerakan yang tersendiri.  Gaya tersebut akan diikuti oleh orang yang berada di sebelah kanan. Semua ahli dalam kumpulan tersebut akan berpeluang menghafal nama dan gaya yang dipersembahkan oleh rakan mereka.


            26 Mei 2012- Merupakan hari kedua para peserta berada di tapak program. Alhamdulillah, semua peserta masih berada dalam keadaan sihat dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pada hari ini termasuklah LDK 1, Kuliah Dasar 2 (Ibadah) , LDK 2 (Lukisanku, Ibadahku), Kuliah dasar 3( Akhlak) , dan LDK 3 (Jum Main) . LDK 1 bertajuk “Bangunan Straw” berhubungkait dengan Kuliah dasar yang pertama iaitu “Akidah Tunjang Pembentukan Remaja Bertaqwa”, setiap kumpulan diminta membina sebuah bangunan menggunakan straw. Bangunan yang kukuah diumpamakan sebagai akidah yang mantap manakala bangunan yang tidak kukuh diibaratkan sebagai akidah seorang muslim yang goyah.

            Selepas solat zohor, Sdr Iqbal Fikri Anafiah menyampaikan sedikit slot khas berkenaan Al-Fateh. Kuliah Dasar yang kedua disampaikan oleh kak Jannah. Bab ibadah diberi tumpuan dalam penyampaian pada kali ini.Latihan Dalam Kumpulan berkenaaan dengan ibadah juga memberi kefahaman lagi kepada para peserta tentang ibadah di dalam Islam. Semasa sesi LDK ke-2, Para peserta diberikan sehelai kertas dan mereka diminta untuk melukis sebuah masjid. Selepas lukisan siap, fasilitator akan bertanya kepada setiap peserta adakah mereka membaca Bismillah sebelum mula melukis sebentar tadi. Melalaui aktiviti tadi, para peserta sedar akan setiap perkara yang kita lakukan hendaklah diniatkan kerana Allah S.W.T.
            Kuliah Dasar yang terakhir telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden 1 PSS Pusat iaitu Sdr. Ahmad Fauzi Saifuddin. Penerangan tentang bab akhlak banyak memberi ilmu baru kepada peserta KRIS tetapi juga kepada barisan Fasilitator dan AJK program. Selepas selesai kuliah dasar, LDK 3 yang bertajuk Jum Main! Dijalankan, dalam LDK yang terakhir ini, aktviti dilaksanakan seperi permainan bola beracun. Peserta yang memegang botol semasa muzik dihentikan akan dikenakan denda. Denda-denda yang disediakan dalam aktivti ini semuanya menghampiri gambaran kepada akhlak yang tidak baik ataupun akhlak mazmumah. Ibrahnya, apabila kita malu untuk melakukan perbuatan tersebut hatta dihadapan sahabat kita, Alhamdulillah, hati kita masih tahu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk.

            Slot yang terakhir pada malam itu ialah slot penghayatan. Tema khas uang dibawa ialah tentang “kematian”. Menyedari tentang hidup kita hanya sementara dan pentingnya dalam diri kita sebagai seorang muslim agar sentiasa mengingati mati, para AJK memasukkan pengisian ini dalam sebagai slot penghayatan pada malam itu. Pada awalnya, para peserta diberi masa untuk melihat video tentang alam kematian, dan video siksaan di alam kubur. Selepas beberapa minit, lampu dimatikan , dan beberapa orang peserta yang berlakon sebagai sekujur tubuh yang telah mati diangkat di tengah-tengah peserta yang sedang menutup mata. Selepas peserta membuka mata, pengisian pun diberi oleh MC yang bertugas tentang singkatnya hidup kita di muka bumi ini. Tangisan para peserta kian kedengaran, dan diharap tangisan adik-adik peserta mampu membasahi hati-hati kita agar sentiasa tidak lupa untuk mengingati mati.

            Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program. Aktivti terakhir ialah Explorace. Semua kumpulan bersemangat untuk menjalankan aktiviti ini kerana penilaian untuk kumpulan terbaik juga akan dijalankan. Dalam aktivti explorace, setiap stesen telah disediakan dengan pelbagai soalan yang merangkumi kuliah-kuliah dasar yang telah mereka hadam sebelum ini. Alhamdulillah, adik-adik peserta mampun menjawab soalan yang diajukan dengan baik. Moga-moga mereka faham apa yang telah disampaikan dalam setiap kuliah dasar dalam program ini.



            Selepas selesai solat zohor berjemaah, program Kem Remaja Islam telah sampai ke penamatnya. Sayu rasa berpisah dengan adik-adik yang telah berkampung selama 3 hari dua malam di SMK. Tambulion. Terima kasih diucapkan kepada Sdr. Zul Hilmey Makmud selaku Presiden PSS Pusat yang sudi meluangkan masa untuk merasmikan Kem Remaja Islam (KRIS) Kota Belud, tidak lupa juga kepada semua fasilitator, dan AJK yang terlibat dalam menjayakan Program KRIS Kota Belud pada tahun ini. Semoga semua titik peluh dan usaha kalian untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini mendapat rahmat disisi Allah S.W.T.


Sdr. Zul Hilmey menyampaikan hadiah kepada peserta 

0 comments:

Post a Comment