Labels

Thursday, February 21, 2013

Muhasabah Perjuangan


            Assalamualaikum WBT kepada sahabat2, Alhamdulillah Allah telah memberikan hidayah untuk kalian membaca entri blog kali ini. 12 Rabiulawal yang lalu adalah tarikh kelahiran nabi junjungan Nabi Muhammad SAW, Annabi sollu alaih. Berselawatlah kepada baginda sebanyak-banyaknya agar kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari baginda Rasulullah dan terpilih menjadi golongan yang mencintai dan dicintai baginda kelak di hari kebangkitan. Semoga dengan selawat bukan hanya sekadar membangkitkan kecintaan kita terhadap peribadi Rasulullah SAW sahaja bahkan ia juga membangkitkan semangat untuk menyambung perjuangan Rasulullah. Dan perjuangan inilah tidak ramai umat Islam berminat akibat terpaksa melalui rintangan dan halangan yang menuntut agar seseorang itu berkorban masa, harta, jiwa dan raga.
            Sebagai umat yang mencintai Rasulullah, wajib untuk kita berusaha dan bersungguh-sungguh dalam meneladani baginda dalam memperjuangkan Islam dan mahu berjuang di jalan Allah. Firman Allah dalam Surah At-Taubah: 38-39 yang maksudnya :
            “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah SWT”, kamu berasa keberatan (suka tinggal dalam menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu adalah salah) kerana kesenangan hidup ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) diakhirat kelak. Jika kamu tidak keluar beramai-ramai ( untuk berperang pada jalan Allah SWT membela agama-Nya, Allah SWT akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan Ia akan mengantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memudaratkan Allah sedikit pun. Dan ingatlah Allah SWT Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Perasaan perlu kepada Allah
            Kita perlu memahami dan menghayati, sekiranya kita tidak mahu berjuang di jalan Allah SWT, maka Allah SWT akan memilih orang lain untuk memperjuangkan Islam. Justeru itu, kita haruslah menggantungkan segala pengharapan dengan sepenuh hati dan perasaan agar kita terus dipilih oleh-Nya dalam perjuangan ini. Perasaan bergantung harap pada Allah SWT ini, akan melenyapkan semangat dan kecintaan kita kepada dunia, kedudukan nama dan mendambakan perhatian manusia serta pelbagai keadaan yang lain.
            Sesungguhnya kita perlu beriman bahawa kita tidak dapat memastikan usia kita akan kekal lama sepertimana yang kita harapkan. Kita akan mati apabila sudah tiba waktu dan masanya untuk menghadap Ilahi, dan kematian itu pasti menjelma. Perasaan ini juga akan  mencetuskan rasa keperluan kita kepada Allah SWT dan mendorong kita untuk untuk terus bekerja, berkhidmat serta berbakti kepada Allah SWT di jalan yang mulia ini.

Awasi permasalahan futur
            Perjuangan Islam yang sedang digerakkan kea rah kemenangannya ini amat memerlukan kepada komitmen kita dengan gerak kerja gerakan. Pada zaman ini, marhalah (peringkat) jihad memerlukan pemimpin jemaah yang mempunyai sifat jihad yang berterusan, yang tidak mengenal erti lemah, letih, tidak bersemangat dan sebagainya. Menjadi perkara yang aneh apabila seseorang muslim yang telah merasai kemanisan iman dan memahami hakikat Islam tetapi sanggup lari dari medan amal yang memenangkan Islam.
            Seseorang yang fikrahnya jelas mengenal Islam, akan sentiasa berusaha mencari ruang dan kesempatan untuk menyuburkan iman dan semangatnya bagi menyemarakkan kerja di dalam perjuangan, serta membetulkan kesalahan dan kesilapan di sepanjang kehidupannya.
            Seseorang yang menghidap penyakit futur, akan merasa jemu dan tidak bersemangat untuk menghadiri program-program gerakan serta berada di dua persimpangan. Keadaannya sama ada akan terus tenggelam dalam lautan futur, seperti terpengaruh dalam suasana persekitarannya sehingga terus tidak menghadiri gerak kerja (program) ataupin diselamatkan oleh Allah. Sekiranya Allah SWT ingin menyelamatkan orang yang futur ini, dia akan diberi peringatan oleh para sahabat seperjuangannya.

Permasalahan kelesuan hari ini
            Antara sifat-sifat mazmumah seperti mudah putus asa, lemah dan tidak bersemangat, apabila wujud dalam diri ahli-ahli gerakan ia akan menyebabkan berlakunya masalah keciciran dalam organisasi. Keciciran ini bukan sahaja melemahkan gerakan Islam itu sendiri, bahkan wujud dikalangan mereka yang terus meninggalkan kerja-kerja perjuangan. Sifat mazmumah yang wujud adalah berpunca daripada masalah gerakan dan individu itu sendiri.
            Antara perkara yang menyebabkan futur terbahagi kepada tiga punca, iaitu:

Pertama : berpunca daripada gerakan, iaitu:
            Sebahagian masalah yang berpunca daripada gerakan ialah:

a. lemah pada sudut tarbiah
            Al-Ustaz Fathi Yakan berkata: “sudut tarbiah kadang kala diletakkan pada sudut yang sangat terbatas, sedangkan sudut-sudut lain dalam gerakan seperti sudut pengurusan gerakan (kepejabatan), tanzim dan siasah yang diberi perhatian yang cukup serius. Gerakan yang mempunyai kelemahan dari sudut tarbiah ini akan mengakibatkan kejatuhannya. Kekuatan tarbiah hendaklah terus dilaksanakan dan tidak terhenti sekali pun pada waktu yang cukup kritikal ataupun dalam keadaan yang genting. Ahli gerakan (jemaah) memupuk hubungan dengan Allah SWT dan Islam itu sendiri. Manakala harakah dan tanzim hanyalah sebagai wasilah dan ia bukannya matlamat utama”.

b. pimpinan tidak memposisikan ahlinya pada kemahirannya
            pimpinan tidak memposisikan ahlinya pada kemahirannya juga merupakan faktor yang akan melemahkan sesebuah harakah (gerakan) dan faktor ini sangat membahayakan gerakan. Sesungguhnya kejayaan sesebuah harakah terletak pada kemahiran ahlinya dan kesesuaian tugasan yang diberikan. Dengan ini ia akan mengwujudkan  kejayaan dan peningkatan kualiti jemaah Islam. Harakah Islamiyyah kadang kala bertambah dan kaya dengan tenaga ahli jemaah. Namun, apabila tenaga-tenaga ini tidak digunakan, jemaah sekali lagi akan tersasar dalam menuju matlamatnya.

c. tidak membuat pemantauan selanjutnya terhadap gerak kerja ahli jemaah
             Tidak membuat pemantauan selanjutnya terhadap gerak kerja ahli jemaah, juga akan membawa kepada unsur mazmumah. Pemantauan selanjutnya yang dimaksudkan ialah pantauan yang dibuat dalam bentuk tanzim (organisasi) dan ukhuwah (persahabatan).

Kedua: berpunca daripada diri individu
                  Sebahagian masalah yang berpunca daripada individu ialah:
a) ahli yang tidak berdisiplin
b) permasalahan yang berpunca daripada sumber makanan dan mata pencarian
c) bersikap sambil lewa terhadap kerja-kerja gerakan.

Renungan terhadap surah Al-Asr
            Mengamalkan apa yang diajarkan di dalam surah al-Asr, khususnya terhadap penjagaan masa, seringkali diabaikan oleh sesetengah anggota jemaah. Lebih malang lagi, apabila penjagaan masa itu sering kali diabaikan oleh kepimpinan yang memegang amanah penting di dalam gerakan Islam. Tiada sebarang faedah jika surah ini yang sering dibaca pada setiap akhir majlis, apabila kita tidak mengamalkannya dalam realiti kehidupan.

Penutup  
            Semoga apa yang ditulis ini menjadi pengajaran kepada semua ahli jemaah untuk menuju ke gerbang kejayaan. Demi membangunkan satu kekuatan baru dalam era masa kini secara realitinya ummah sangat memerlukan cahaya penyelamat. Cahaya penyelamat itu bertujuan bagi melepaskan mereka daripada kezaliman yang sudah semakin serakah dalam mencengkam kebebasan dan hak yang hilang.
            Semoga Maulidur Rasul kali ini memberikan hembusan semangat baru agar kita lebih bersungguh-sungguh menjadi mata-mata rantai yang akan meneruskan perjuangan mulia Rasulullah SAW. Allahumma Salliy a'la sayidina Muhammad wa a'la .. alihi wa sohbihi wassallim.
p/s : sumber daripada buku Bingkisan Fikrah Pejuang oleh Syeikh Muhd Zainul Asri Bin Hj Mohd Romli. Beliau telah mengijazahkan buku ini kepada semua hadirin yang hadir termasuk penulis pada majlis pengajiannya di Masjid An-Nur Jitra Kedah dan menghalalkannya untuk disebarkan. Semoga bermanfaat untuk ummah. Wallahualam.