Labels

Sunday, December 28, 2008

Muqaddimah tahun baru 1430H....

Assalamualaikum… salam maal Hijrah 1430.

Untuk pertama-tamanya, psskb mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua umat Islam yang bertebaran di muka bumi ini khasnya para mujahideen yang berusaha menggerakkan dakwah di medan perjuangan ini. Walaupun pada kebiasaannya sambutan tahun baru hijrah ini tidaklah semeriah menyambut tahun baru masihi, namun kita perlu ingat dan sedar bahawa tarikh ini membawa seribu makna kepada kita.

Bercerita tentang awal Muharram, ia pasti mengingatkan kita mengenai sirah Rasulullah yang berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah dengan membawa misi penting iaitu Islam. Maka, berlakulah peristiwa bersejarah apabila Baginda mempersaudarakan kaum Muhajjirin (penduduk Mekah yang berhijrah) dan kaum Ansar (penduduk Madinah yang membantu kaum Muhajjirin) demi kepentingan Islam itu sendiri. Dengan terjalinnya persaudaraan ini, umat Islam menjadi semakin ramai dan kuat bukan sekadar fizikalnya tetapi aqidahnya dan ini menjadi asas permulaan kepada pembentukan masyarakat baru.

Diharapkan dengan terbukanya lembaran kalendar tahun baru 1430H ini dapat menanamkan azam dan semangat baru untuk kita meneruskan perjuangan menegakkan syiar Islam ini. Sirah Nabi 1430 tahun dahulu menjadi panduan untuk kita dalam membawa misi penting ini. Perancangan yang baik dengan bertunjangkan kebergantungan kepada Allah semata pasti memberikan hasil yang baik jika ianya benar-benar dipatuhi.

Buat adik-adik KRU dan sahabat-sahabat PSS, perhalusilah dengan baik perancangan gerak kerja yang kita usahakan dengan sedaya upaya agar mencapai matlamat yang kita inginkan. Janganlah berputus asa dan berlemah semangat dengan dugaan dan musibah yang menimpa kerana ia merupakan perkara yang wajib dilalui oleh seorang yang bergelar pendakwah.

Sempena tahun baru ini, marilah kita sematkan azam baru dalam diri untuk menjadikan tahun baru 1430H ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Semoga itiqamah dalam perjuangan!

0 comments:

Post a Comment