Labels

Saturday, June 27, 2009

Sabra dan Shatila dalam kenangan

Pada 11 September 1982, Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon, arkitek kepada penjajahan Israel ke atas Lubnan telah mengumumkan bahawa terdapat lebih daripada 2000 orang pengganas masih berada di kem-kem pelarian Palestin di sekitar Beirut, Ibu Negara Lubnan. Bagaikan agenda drama yang kemas dirancang, Presiden Lubnan Bashir Gemayel, telah dibunuh apabila ibu pejabatnya telah diletupkan dengan bom oleh sekumpulan bersenjata pada 14hb September. Beliau merupakan Ketua Parti Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu kuat Israel. Pada 15hb September 1982, tentera Israel telah menguasai Beirut Barat dengan mengelilingi serta mengunci mati laluan ke kem Sabra dan Shatila yang padat diduduki oleh pelarian Palestin dan orang awam Lubnan.



Pada sebelah petangnya, kem-kem pelarian ini telah dikelilingi sepenuhnya oleh kereta kebal dan tentera Israel yang menjaga setiap laluan keluar masuk kem-kem ini dalam rangka memantau setiap orang yang keluar atau masuk ke kem. Laluan ini telah ditutup sepenuhnya pada lewat petang. Keesokannya 16hb September, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Militia Phalangist Lubnan, mengundang mereka masuk ke kem pelarian Sabra dan kem Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’. Mesyuarat tersebut berakhir pada 3 petang.



Lewat petang 16hb September 1982, lebih kurang 150 orang unit pertama Militia Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu kuat Israel masuk ke kem pelarian bersenjatakan senapang, pisau dan kapak masuk ke kem pada jam 6.00 petang. Mereka terus membunuh orang-orang awam terutamanya pelarian ini dengan mengelar leher mereka, membunuh dengan kapak serta menembak mereka. Ramai di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan ini telah dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu. Pada malam yang sama, pasukan tentera Israel menerangkan kawasan kem dengan cahaya api yang membakar menyebabkan kawasan tersebut terang benderang seumpama stadium bola sepak, menurut saksi yang terselamat dari insiden tersebut.



Dalam masa beberapa jam pertama itu sahaja mereka telah merogol, membunuh dan mencederakan ramai orangorang awam yang kebanyakannya adalah pelarian Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang telah dikepung di dalam kem-kem tersebut. Pada jam 11.00 malam, satu laporan telah sampai ke ibu pejabat tentera Israel di Beirut Timur yang mengatakan sekurang-kurangnya 300 orang telah dibunuh dalam tempoh 5 jam pertama. Di antara 36 hingga 48 jam kemudiannya, Militia Phalangist telah membunuh kebanyakan penduduk yang menghuni kem pelarian tersebut sementara tentera Israel mengawal laluan keluar kem dan terus memberikan sokongan yang maksimum terhadap pembunuhan ini. Pada Jumaat 17 September, laluan ke kem Sabra dan kem Shatila masih ditutup namun ada beberapa pemerhati bebas berjaya melepasi sekatan ketat tentera Israel.



Di kalangan mereka adalah seorang wartawan dan seorang pegawai diplomat dari Norway, Gunnar Flakstad yang menyaksikan operasi pembersihan yang dijalankan oleh Militia Phalangist yang sedang membuang mayat-mayat dari rumah yang musnah dihancurkan. Militia Phalangist tidak keluar dari kem pada jam 5 pagi Sabtu 18hb September sebagaimana yang diarahkan. Mereka terus melakukan pembunuhan sehinggalah mereka meninggalkan kem Sabra dan kem Shatila pada jam 8.00 pagi 18hb September 1982.Para wartawan asing dibenarkan masuk ke dalam kem pada hari Sabtu, jam 9.00 pagi 18hb September yang menyaksikan ratusan mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan banyak di kalangan mayat ini yangdikelar-kelar anggota badannya.Diantara kata-kata saksi pelarian Palestin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:-

• ”Tentera-tentera tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah dan memberikan amaran akan meletupkanrumah sekiranya mereka tidak keluar dari persembunyian.”

• ”Ada saksi yang terselamat mendengar bahawa tentera Phalangist memberitahu satu sama lain supayamenggunakan kapak sahaja kerana bunyi senapang akan menyebabkan orang ramai sedar dan akan melarikan
diri.”

• "Mereka membunuh abang ipar saya di depan mata kepala saya sendiri, saya melihat mereka menembak kepadaorang ramai. Mereka membunuh kesemuannya dan saya terus melarikan diri" Tidak diketahui jumlah yang terbunuh secara tepat kerana sumber rasmi dari Israel mengumumkan bahawa ‘hanya’ 700 orang awam terbunuh. Sumber rasmi dari Lubnan pula menjangkakan kira-kira 1900 orang awam terbunuh. Manakala sumber berita Palestin pula mengatakan bahawa di antara 3000-3500 orang pelarian Palestin telah dibunuh, 1000-1500 telah hilang dan kira-kira 1000 orang yang lain telah melarikan diri.



Siapakan arkitek tragedi Sabra dan Shatila ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah Ariel Sharon yang merupakan bekas Perdana Menteri Israel. Beliaulah pemimpin pengganas yahudi yang pernah berkata,


• ”Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang palestin dari Gaza dan Tebing barat ke
Jordan."

» (New York Times, 17hb Mei 1982)
• "Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati”

» (Ha'aretz, 25hb Februari 1983).
• “Saya merasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau merasa bertanggungjawab terhadapnya”

» (“The Accused” BBC- Panorama, 17/6/2001 ).



Kini September 2007, tepat 25 tahun setelah berlalunya tragedi hitam Sabra dan Shatila. Kem Shatila kini dihuni oleh lebih 30 ribu pelarian Palestin merupakan penempatan pelarian yang ke tujuh terbesar di Lubnan daripada keseluruhan pelarian palestin di Lubnan yang kini berjumlah melebihi 500 ribu orang. Rata-rata mereka hidup dengan penuh kepayahan dan keperitan. Bekalan air dan elektrik adalah dalam keadaan yang minimum di penempatan yang sempit lagi dhaif ini. 80 peratus dari kalangan mereka adalah miskin dan terpaksa saban hari mengikat perut kelaparan. Hanya 14 peratus di kalangan remaja anak-anak pelarian ini berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka dan majoriti yang dewasa adalah penganggur kerana mereka dinafikan dari memiliki hak-hak asasi mereka termasuk bekerja di 72 bidang pekerjaan di Lubnan.



Oh Sabra dan Shatila....bilakah sinaran mentari baru akan menerangi hidupmu?


Dr Zainur Rashid Zainuddin,
Catatan perjalanan
(Sabra dan Shatila 20-23hb Jan 2007 & 13-20hb Mei 2007)

0 comments:

Post a Comment