Labels

Wednesday, February 15, 2012

Kita Adalah Pemimpin

Assalamualaikum Warahmatullah..
buat sahabat2...
Kita bakal pemimpin bukan?
Bukan lagi pemimpin di tempat-tempat yang khusus, malah kita pemimpin dunia.
Bukan lagi pemimpin pada masa-masa tertentu, malah pada setiap masa untuk diri kita sendiri terutamanya.
Pemimpin yang berjaya, seharusnya mempunyai matlamat yang jelas dan cara kerja atau strategi yang sukses demi mencapai sebuah kemenangan yang nyata dan disegani.
Haruskan seorang pemimpin itu disegani?
Ya, seharusnya selagi dia tidak melanggar segala undang-undang yang telah digariskan Allah S.W.T. Ya, seharusnya selagi dia tidak menjadikan nafsu sebagai cara kerja memimpinnya.
Dan kita para daie adalah pemimpin yang sebenarnya. Kitalah yang mengendalikan dakwah.
Memimpin manusia untuk mengenali apa erti lurusnya sebuah jalan. Mengajar manusia untuk lebih memahami apa erti sebenar sebuah kebenaran. Meletakkan manusia untuk berada di tempat yang bercahaya.
Jalan yang lurus, itulah jalan yang mesti ditempuh. Jalan yang lurus, itulah jalan yang mesti diikut.
Jalan yang lurus, itulah jalan yang penuh kesusahan. Jalan yang lurus, itulah jalan yang tidak akan memberikan erti kepuasan dengan cepat. Jalan lurus inilah mengajar para daie untuk terus berusaha.
Kerana apa?
Kerana inilah tugas pemimpin. Perlu memuaskan hati rakyatnya.
Dan untuk bumi ini, Islam itulah adalah kepuasan untuk penduduknya. Iman itu adalah cahayanya.
Tidak cukup hanya dengan keadilan undang-undang, jika sebelumnya tidak wujud Iman. Tidak cukup hanya dengan kuasa yang ada jika sebelumnya tidak wujud Iman. Kerana dengan Iman, undang-undang akan tercipta dengan sendirinya.
Lihat sahaja sirah terdahulu.
Apabila larangan meminum arak diturunkan, serta-merta bandar Mekah itu banjir dengan minuman-minuman keras.
Mereka bertegas mencampakkan botol-botol arak yang ketika itu berada dalam tangan mereka.
Dari Anas Bin Malik A.S :
"Aku memberikan minuman khamar kepada Abu 'Ubaidah dan Ubay bin Ka'ab, lalu datang orang mengatakan:" Sesungguhnya minuman keras telah dilarang". Maka Abu 'Ubaidah berkata: "Hai Anas! Berdirilah dan tumpahkanlah minuman keras itu!" Lalu saya tumpahkan kesemuanya.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Inilah kuasa Iman yang lebih tinggi kuasanya dari kuasa hakim-hakim seluruh dunia. Kuasa Iman yang tinggi mampu menundukkan apa jua jenis kuasa dunia.
Sebut apa jua peraturan, jika tiada Iman sebelumnya, anda akan melihat betapa ramai ummat manusia akan melanggarinya. Kerana itu, ummat manusia sekarang ini kian tidak mengerti betapa pentingnya Iman.
Maka, seharusnya menjernihkan Iman kita terlebih dahulu sebelum berusaha menjernihkan iman manusia yang lainnya. Barulah pemerintahan itu akan tersinar kesuciannya.Dan lebih terjamin kuasanya !
Ajar manusia erti kebinasaan. Ajar manusia erti kehancuran. Inilah simboliknya keadaan tanpa Iman. Besarnya pengaruh kebinasaan ini sehingga kita akan terlupa betapa pentingnya nilai dan harga sebuah Iman.
Seharusnya kita mengenali jiwa-jiwa pemimpin agung yang sudah terbukti sejarah hidup mereka penuh kegemilangan.
Kenali kelebihan mereka. Kenali cara kerja mereka. Kenali matlamat mereka. Kenali potensi-potensi diri mereka. Paling penting, kenali betapa sucinya perjuangan mereka!
Bagaimana Rasulullah S.A.W memimpin sehingga namanya, peribadinya masih diketahui sehingga kini?
Bagaimana As-Syahid Hassan Al-Banna mampu mengubah dunia sehingga namanya dikenali sehingga kini?
Bagaimana Syeikh Ahmad Yassin memegang tampuk kekuasaan sehingga dia disegani sehingga kini?
Bukalah lembaran sejarah hidup mereka sahabat2....
Pemimpin itu akan sentiasa menjadi tauladan bagi orang yang diperintahnya. Dia ibarat sumber cahaya menerangi kebenaran. Dia ibarat sumber tenaga memberi semangat kepada rakyatnya.
Di sinilah betapa pentingnya qudwah hasanah. Rasulullah S.A.W juga mendahului dakwahnya dengan sifat-sifat yang mulia. Gelaran al-Amin yang diberikan merupakan satu kelebihan yang nyata.
Seluruh penduduk Mekah mengenali Baginda S.A.W. Malangnya, setelah datangnya Islam, gelaran itu seolah telah menghilang, semacam tidak pernah wujud.
Walhal pada hakikatnya, al-Amin pada diri Baginda S.A.W tidak pernah hilang! Malah, Baginda S.A.W berterusan menjadi ikutan para sahabat yang lainnya.
Maka, lahirlah para sahabat yang tidak kurang juga hebatnya. Abu Bakar A.S yang terkenal dengan kelembutannya. Umar A.S yang terkenal dengan ketegasannya.
Betapa penting seorang daie itu menanamkan keinginannya untuk memimpin ummat manusia. Bukan gilakan kuasa, tetapi gilakan kemenangan agar Islam tertegak di atas muka bumi ini.
Tohmahan yang tinggi mengajar seorang daie itu tidak gentar dengan cabaran. Apa yang perlu ditakuti adalah jika seorang daie itu tidak pernah melakukan sebarang percubaan.
Demikianlah, hakikat diri seorang pemimpin manusia. Pemimpin yang mahu menjadikan Islam itu undang-undang dunia.

 


sumber : I Luv Islam

Monday, February 13, 2012

I'm A Moslem; I'm Not Celebrate Valentine's Day!


Cinta yang selayaknya manusia serahkan ialah kepada Sang Pemilik Cinta iaitu Allah kerana semua kita mengetahui bahawa cinta Allah itu kekal abadi. Cinta manusia atau sesama makhluk akan kecewa suatu hari nanti. Sesiapa yang mencintai Allah tidak akan rugi, bahkan akan merasai betapa hebatnya penangan cinta tersebut. Jika anda tidak percaya, cubalah anda lakukan sendiri perkara-perkara yang akan menimbulkan perasaan cinta kepada Allah. Ada berani?
Amat malang bagi sesiapa yang mencintai manusia melebihi kecintaannya terhadap Allah. Ingatlah, seharusnya seluruh umat manusia melabuhkan cinta pertama dan utamanya kepada Allah, Pemilik manusia itu sendiri.

Cinta yang kedua ialah cintakan rasul. Sesiapa yang mencintai Rasulullah akan memperoleh syafaat di padang Mahsyar kelak. Antara lambang seseorang cintakan rasul adalah selalu berselawat kepada baginda saw. Sebagai ganjarannya, Allah menambahkan 10 pahala bagi orang yang berselawat sekali kepada Rasulullah saw.

Cinta yang ketiga ialah cinta kepada alim ulama kerana mereka ialah pewaris nabi. Mereka merupakan penerus perjuangan Rasulullah saw dan sanggup menggadai jiwa, raga, harta, penat lelah dan sebagainya untuk memastikan hukum Allah terus tertegak di Bumi ini.




Cinta yang keempat ialah cinta kepada ibu bapa kerana tanpa mereka ke manalah kita. Mereka juga telah banyak berkorban untuk memastikan kita berjaya di dalam menempuh alam kehidupan.


Cinta yang kelima ialah cinta kepada suami atau isteri dan anak-anak kerana suami atau isteri dan anak-anak yang soleh dan solehah merupakan penghibur dan menceriakan suasana kehidupan seseorang.
Cinta yang tersenarai di atas merupakan cinta yang selayaknya kita berikan. Hal ini demikian kerana ia merupakan tanggungjawab kita semua. Masalahnya sekarang ramai umat Islam menyambut kekasihnya dengan cara yang tidak dibenarkan Islam. Contohnya, meraikan Valentine’s Day pada setiap 14 Februari. Ramai ulama Islam mengeluarkan fatwa tentang sambutan Hari Kekasih ini seperti Datuk Harussani Zakaria, Mufti Perak. Memetik kenyataan beliau di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Februari 2004 berbunyi:


“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut. Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom. Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama. Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II. Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.”

Konklusi daripada kenyataan Mufti Perak ini, meraikan sambutan Hari Kekasih ialah haram dan sesiapa yang meraikannya boleh murtad kerana mereka mengikut jejak langkah agama lain dengan menyambut upacara keagamaannya. Nama sambutan Hari Kekasih ialah Valentine sempena nama pederi yang dibunuh oleh pemerintah Rom ketika itu kerana beliau mengahwinkan tentera Rom. Selain itu, sambutan Hari Kekasih juga disambut oleh penganut Kristian dan ini adalah salah satu sambutan keagamaan mereka.
Sebenarnya, sambutan Hari Kekasih juga bercanggah dengan ajaran Islam kerana Islam mempunyai batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ramai muda-mudi Islam yang ternanti-nanti untuk merayakan Hari Kekasih ini dengan berbagai perbuatan yang diharamkan oleh Islam.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ Al Isra’:32
Daripada petikan ayat Quran di atas, jelas Islam melarang umatnya daripada menghampiri zina kerana zina itu adalah haram dan merosakkan umat Islam. Kesan daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah berlakunya kes-kes pembuangan anak, pengguguran, anak luar nikah semakin bertambah dan sebagainya. Hal ini juga memalukan keluarga dan pasangan yang melakukan kerana perbuatan maksiat atau zina ini sangat dihina oleh masyarakat dan Islam.


Oleh itu, ayuh kita kembali kepada cinta yang hakiki iaitu cinta Ilahi kerana cinta Ilahi inilah sebenar-benar cinta. Apabila seseorang itu telah larut dalam mencintai Allah, maka dia akan memperoleh segala kenikmatan dunia dengan berkat cintanya kepada Allah. Sambutlah kekasih kita dengan cara yang dikehendaki Islam iaitu melalui saluran perkahwinan yang sah. Sambutlah ulangtahun perkahwinan dengan cara yang diredhai Allah.

Thursday, February 9, 2012

Forum Rumahku Syurgaku

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pada 23 Januari yang lalu bersamaan hari Isnin, PSS KB telah mengadakan aktiviti gotong-royong di Masjid Jamek Kampung Penampang, Kota Belud pada sebelah siang. Sementara itu, Forum “Rumahku Syurgaku” telah diadakan pada sebelah malam selepas solak isyak.



*******************************************
Baitul Muslim ataupun rumahtangga Islam memberikan kesan terhadap institusi keluarga yang akan dibina oleh seseorang individu.

Memetik nukilan kata-kata As Syahid Imam Hassan Al Banna ketika berbicara tentang pernikahan dan kehidupan rumahtangga, As Syahid mengatakan “Kehidupan rumahtangga adalah ‘hayatul amal’. Ia diwarnai oleh beban-beban dan kewajiban.”

Landasan kehidupan rumahtangga bukan setakat kesenangan dan romantik semata-mata, bahkan tolong-menolong dalam memikul beban kehidupan dan beban dakwah.

Masyarakat Islam bagaikan bangunan kukuh. Keluarga bukan sahaja sebagai sendi dalam bangunan tersebut tetapi juga menjadi unsur pokok bagi umat Islam secara keseluruhan. Oleh itu, agama Islam memberikan perhatian khusus berkaitan masalah pembentukan rumahtangga.


Perhatian isitimewa ini tercermin di dalam dua hal iaitu:

Pertama, Al Quran cukup memperincikan pembentukan keluarga ini. Ayat-ayat tentang pembentukan rumahtangga termasuk ayat paling banyak jumlahnya berbanding ayat-ayat yang menjelaskan masalah lain. Al Quran menjelaskan tentang perihal menikah, perintah menikah, pergaulan suami isteri, menyusui anak dan sebagainya.

Kedua, sejak Rasulullah saw mengajarkan takwim keluarga yang sakinah dengan cara memilih calon mempelai yang soleh dan solehah. Rasulullah saw bersabda, “Pilihlah tempat menyemai benihmu kerana sesungguhnya tabiat seseorang menurun kepada anak.”

Sewajibnya rumahtangga seorang muslim itu didasari mencintai Allah semata-mata.

Ciri-Ciri Rumahtangga Islam:
  1. Sendi bangunannya ialah ketakwaan kepada Allah. Memilih calon suami atau isteri harus sesuai dengan arahan Rasulullah iaitu mengutamakan agamanya.
  2. Kebahagiaan rumahtangga bukanlah diukur melalui kekayaan harta benda tetapi ia muncul dari dalam jiwa yang punya ketakwaan terhadap Allah. Ketakwaan yang ada dalam di dada pasangan suami isteri akan menimbulkan rasa saling percaya dan melahirkan ketenteraman serta ketenteraman di dalam hubungan suami isteri. Hubungan antara anggota keluarga akan terasa indah kerana semua sedar akan tanggungjawab dan hak-haknya.
  3. Rumah yang dibangun untuk keluarga seharusnya sederhana dan mengutamakan skala terpenting sahaja dengan mengurangkan segala bentuk pembaziran.
  4. Dalam bab makanan dan berpakaian, seorang muslim amat bersederhana, menekankan aspek kebersihan dan menghindari dari yang haram dan berlebih-lebihan. Hindari syubhat dan jauhi yang haram. Semua anggota keluarga dipacu untuk banyak menginfak dan bersedekah.
  5. Anggaran isi rumahtangga dipenuhi dengan rezeki yang halal dan baik. Hal ini demikian kerana daging yang terbentuk dari daging yang haram akan dibakar oleh api neraka. Secara teknikalnya, perlu ada kesepakatan antara suami isteri dalam menentukan perbelanjaan rumahtangga.
  6. Kita perlu perhatikan hak-hak Allah. Tunaikan zakat, menabung untuk pergi haji, sediakan kotak khusus untuk bersedekah bagi kemaslahatan ummah dan banyak lagi.

Intihanya, rumahtangga Islam akan mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah. Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah dari acuan rumahtangga muslim ini. Insha-Allah!

Cebisan Mutiara Ilmu di Taman Syurga Qiyamullail Pertama 2012


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana program qiyamullail pembuka tirai tahun ini telah selamat dijalankan pada 22 dan 23 Januari yang lepas.

Bersaksikan Masjid Pekan Kota Belud, program yang bertemakan "Khuluqul Islam" ini telah mengundang seramai 43 orang tetamu taman syurga dunia yang dahagakan ilmu untuk bekalan sepanjang berkelana di alam dunia.


Baiklah, dalam entri kali ini kami krew PSS KB dan KRU KB ingin berkongsi sedikit mutiara ilmu yang diperoleh sepanjang menadah ilmu selama 2 hari 1 malam di taman syurga dunia Kota Belud.

Terlebih dahulu kami memberikan maksud akhlak Islam kerana ia banyak dibincangkan dalam ilmu akhlak. Akhlak bermaksud budi pekerti yang baik. Akhlak Islam ialah seperti akhlak Nabi Muhammad saw. Kehebatan akhlak Rasulullah saw tiada tanding taranya dengan manusia lain. Ilmuan barat mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai manusia nombor 1 yang paling berjaya merubah tamadun manusia daripada zaman kegelapan kepada zaman cahaya Islam.

"Akhlak Rasulullah saw ialah seperti Al Quran." HR Bukhari dan Muslim

Nah, sudah terang lagi bersuluh bahawa akhlak Nabi seperti yang dikehendaki Al Quran! Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa yang dinamakan orang beriman dan bertakwa kepada Allah ialah orang yang menjadikan Al Quran dan sunnah sebagai panduan hidupnya dan inilah yang dinamakan sebagai akhlak mahmudah. Bagi sesiapa yang tidak menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai panduan hidupnya, maka inilah yang dinamakan sebagai akhlak mazmumah. Sesiapa yang tidak berpegang kepada syariat Islam atau tidak berpegang kepada Al Quran dan Sunnah, orang itu akan berada dalam kesesatan yang nyata.

Akhlak Mahmudah vs Akhlak Mazmumah

Akhlak Mahmudah
  1. Taubat
  2. Zuhud
  3. Takut kepada Allah
  4. Cinta kepada Allah dan Rasul
  5. Sabar
  6. Bersyukur
  7. Ikhlas
  8. Tawakkal
  9. Redha
  10. Mengingati mati
Akhlak Mazmumah
  1. Gemar makan dan minum secara berlebihan
  2. Banyak berkata perkara yang sia-sia
  3. Marah
  4. Hasad dengki
  5. Cinta kepada harta
  6. Takbur
  7. Riak
  8. Ujub
  9. Cinta akan dunia
Konklusinya, sebagai seorang muslim yang mengaku dan yakin adanya Allah, maka perlulah dan wajiblah kita tunduk dan patuh kepada perintah Allah yang dibawa oleh Rasulullah saw. Kita wajib membenarkan hati, perbuatan dan perkataan yang disampaikan oleh Nabi saw adalah daripada Allah. Panduan bagi umat Islam untuk menuju kepada Allah dan keredhaan-Nya ialah adalah dengan menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai contoh ikutan dalam setiap tindakan kita.