Labels

Monday, February 13, 2012

I'm A Moslem; I'm Not Celebrate Valentine's Day!


Cinta yang selayaknya manusia serahkan ialah kepada Sang Pemilik Cinta iaitu Allah kerana semua kita mengetahui bahawa cinta Allah itu kekal abadi. Cinta manusia atau sesama makhluk akan kecewa suatu hari nanti. Sesiapa yang mencintai Allah tidak akan rugi, bahkan akan merasai betapa hebatnya penangan cinta tersebut. Jika anda tidak percaya, cubalah anda lakukan sendiri perkara-perkara yang akan menimbulkan perasaan cinta kepada Allah. Ada berani?
Amat malang bagi sesiapa yang mencintai manusia melebihi kecintaannya terhadap Allah. Ingatlah, seharusnya seluruh umat manusia melabuhkan cinta pertama dan utamanya kepada Allah, Pemilik manusia itu sendiri.

Cinta yang kedua ialah cintakan rasul. Sesiapa yang mencintai Rasulullah akan memperoleh syafaat di padang Mahsyar kelak. Antara lambang seseorang cintakan rasul adalah selalu berselawat kepada baginda saw. Sebagai ganjarannya, Allah menambahkan 10 pahala bagi orang yang berselawat sekali kepada Rasulullah saw.

Cinta yang ketiga ialah cinta kepada alim ulama kerana mereka ialah pewaris nabi. Mereka merupakan penerus perjuangan Rasulullah saw dan sanggup menggadai jiwa, raga, harta, penat lelah dan sebagainya untuk memastikan hukum Allah terus tertegak di Bumi ini.




Cinta yang keempat ialah cinta kepada ibu bapa kerana tanpa mereka ke manalah kita. Mereka juga telah banyak berkorban untuk memastikan kita berjaya di dalam menempuh alam kehidupan.


Cinta yang kelima ialah cinta kepada suami atau isteri dan anak-anak kerana suami atau isteri dan anak-anak yang soleh dan solehah merupakan penghibur dan menceriakan suasana kehidupan seseorang.
Cinta yang tersenarai di atas merupakan cinta yang selayaknya kita berikan. Hal ini demikian kerana ia merupakan tanggungjawab kita semua. Masalahnya sekarang ramai umat Islam menyambut kekasihnya dengan cara yang tidak dibenarkan Islam. Contohnya, meraikan Valentine’s Day pada setiap 14 Februari. Ramai ulama Islam mengeluarkan fatwa tentang sambutan Hari Kekasih ini seperti Datuk Harussani Zakaria, Mufti Perak. Memetik kenyataan beliau di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Februari 2004 berbunyi:


“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut. Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom. Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama. Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II. Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.”

Konklusi daripada kenyataan Mufti Perak ini, meraikan sambutan Hari Kekasih ialah haram dan sesiapa yang meraikannya boleh murtad kerana mereka mengikut jejak langkah agama lain dengan menyambut upacara keagamaannya. Nama sambutan Hari Kekasih ialah Valentine sempena nama pederi yang dibunuh oleh pemerintah Rom ketika itu kerana beliau mengahwinkan tentera Rom. Selain itu, sambutan Hari Kekasih juga disambut oleh penganut Kristian dan ini adalah salah satu sambutan keagamaan mereka.
Sebenarnya, sambutan Hari Kekasih juga bercanggah dengan ajaran Islam kerana Islam mempunyai batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ramai muda-mudi Islam yang ternanti-nanti untuk merayakan Hari Kekasih ini dengan berbagai perbuatan yang diharamkan oleh Islam.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.’’ Al Isra’:32
Daripada petikan ayat Quran di atas, jelas Islam melarang umatnya daripada menghampiri zina kerana zina itu adalah haram dan merosakkan umat Islam. Kesan daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah berlakunya kes-kes pembuangan anak, pengguguran, anak luar nikah semakin bertambah dan sebagainya. Hal ini juga memalukan keluarga dan pasangan yang melakukan kerana perbuatan maksiat atau zina ini sangat dihina oleh masyarakat dan Islam.


Oleh itu, ayuh kita kembali kepada cinta yang hakiki iaitu cinta Ilahi kerana cinta Ilahi inilah sebenar-benar cinta. Apabila seseorang itu telah larut dalam mencintai Allah, maka dia akan memperoleh segala kenikmatan dunia dengan berkat cintanya kepada Allah. Sambutlah kekasih kita dengan cara yang dikehendaki Islam iaitu melalui saluran perkahwinan yang sah. Sambutlah ulangtahun perkahwinan dengan cara yang diredhai Allah.

0 comments:

Post a Comment