Labels

Monday, February 20, 2012

DAKWAH memerlukan HIKMAH



Assalamualaikum Warahmatullah..


Menyeru itu tugas setiap Muslim. Tiada yang terkecuali. Titik!

Tidak semua manusia yang diajak (dakwah) akan menurut seruan. Tidak semua manusia akan terbuka pintu hatinya dan tiada satu pun penyeru dapat mengubah seseorang ke jalan Allah melainkan dengan izin Allah S.W.T.
Bertemu dengan manusia, semestinya mempunyai banyak ragam. Maka seruan itu harus ada variasi dan penuh hikmah. Melihat keadaan masyarakat yang dijadikan sasaran untuk diajak mengenal jalan Allah itu adalah satu kemestian sebelum memulakan langkah dakwah. Peringatan, penyeru hanyalah penyeru!
Menyeru Kepada Ma'ruf
Apabila mengajak seseorang kepada kebaikan, tidak kira siapa, bukanlah menunjukkan bahawa diri kita lebih baik dari orang lain. Hakikatnya dakwah itu adalah untuk menyeru diri kita sendiri dan orang lain ke arah yang diredhai ALLAh SWT.
Maka, untuk melakukannya memerlukan perancangan dan sasaran yang tepat!
Mengajak kepada ma'ruf semestinya perlu berpandukan ilmu dan kefahaman yang jelas. Untuk apa kita berdakwah? Kenapa kita berdakwah? Atas kerana apa kita perlu melakukannya? Kerana ianya adalah amanah Allah S.W.T!
Dai'e tidak seharusnya mengamalkan sikap serkap jarang terhadap sasaran mad'u mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah mengenalpasti sasaran dan kaedah yang bersesuaian untuk digunakan dan dalam masa yang sama memperbetulkan niat dan memastikan bahawa diri sendiri mengamalkan apa yang hendak diperkatakan kepada orang lain.
Kerana apa? Ucapan anda akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Syed Qutub ada menjelaskan, "Sesungguhnya kerja-kerja dakwah dijalankan semata-mata untuk menuju ke pangkuan Ilahi, bukan untuk kepentingan diri dan puak! Dan seorang dai'e tidak lain tidak bukan hanyalah menjalankan amanah Allah 
S.W.T..."



Mencegah Yang Mungkar
Mencegah yang mungkar juga memerlukan kefahaman dan kaedah yang telah digariskan dalam Islam. Pencegahan terhadap kemungkaran sebenarnya adalah mengikut kemampuan diri anda sendiri sama ada mengubah dengan tangan jika berkuasa dan mampu. Dengan lidah, iaitu menasihatinya dan mencegah dengan hati, iaitu membenci kemungkaran tersebut lalu meninggalkannya.
Saya berikan contoh situasi. Anda didatangi oleh sekumpulan kawan anda yang mengajak anda untuk meminum arak. Anda tidak mampu untuk mencegah dengan tangan. Lalu anda mencuba untuk mencegah dengan lidah, dan ia tidak berkesan. Lalu anda menggunakan kaedah pencegahan yang terakhir, iaitu membenci dengan hati. Lalu anda meninggalkan kumpulan kawan anda itu.
Pendek kata, mencegah dengan hati dan meninggalkan serta merta!
Anda Penyeru, Anda Contoh
Menyeru ke arah kebaikan iaitu jalan mengenali Allah dan keindahan Islam memang tugas seluruh Muslim. Namun, seruan itu adalah lebih kepada diri anda sendiri. Kenapa saya berkata demikian?
Kerana, andalah contoh terhadap kata-kata anda. Kata orang, cakap mesti serupa bikin. Setidak-tidaknya kita berusaha dan berusaha untuk menjadi baik dipandangan Allah S.W.T. Jangan jadi seperti orang yang asyik menyeru tetapi melupakan diri sendiri.
Eh, adakah orang seperti itu? Ada. Hayati kalam Allah S.W.T ini,
"Mengapa kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" – (al-Baqarah : 44)
Malah Allah telah mencatatkan bahawa seorang dai'e yang cakap tidak serupa bikin akan dibenci oleh-Nya dan kebencian Allah itu adalah satu musibah yang besar bagi manusia!
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." – (as-Shoff : 2-3)
Hakikatnya, berdakwah itu adalah seruan untuk diri sendiri terutamanya, kemudian barulah untuk orang lain. Maknanya, diri sendiri lebih bertanggungjawab untuk mempraktikkan apa yang telah diucapkan oleh bibir.
Agama Allah tetap akan ada tanpa kita dan kita bukan siapa-siapa tanpa Islam!
Mari memperbaiki diri dan orang lain!
Semoga Allah merahmati.

-i luv Islam-

1 comments:

  1. salam keindahan dhuha..nice advice...sma2 kita muhasabah..:)

    ReplyDelete